Sejauh Mana Kita Boleh Bergaya Di Tempat Kerja?

Gaya penampilan ke tempat kerja banyak dipengaruhi oleh bidang kerja dan industri pekerjaan tersebut. Secara umumnya, ada tiga tahap gaya berdasarkan pekerjaan dan industri pekerjaan.

TAHAP GAYA 1: TRADISIONAL (KONSERVATIF)

Pada tahap ini, gaya yang dipakai mesti dipadankan dengan mesej berwibawa, berkaliber, integriti tinggi, cekap dan tegas.

Industri yang tertakluk di bawah tahap gaya ini ialah industri kewangan, perbankan, perakaunan, perundangan, perubatan dan pegawai peringkat atasan dalam dalam sektor korporat.

Pakaian yang dipilih individu yang bekerja dalam industri ini perlu mempunyai corak dan warna yang amat minimal, mengutamakan kualiti dan potongan yang kemas, gaya yang klasik dan bukan trendy.

TAHAP GAYA 2:  SEPARA TRADISIONAL

Pada tahap ini, gaya yang dipakai perlu memaparkan mesej mudah didekati (approachable), mudah berurusan, boleh dipercayai dan berpengetahuan.

Industri yang tertakluk di bawah tahap gaya ini ialah industri insurans, pendidikan (perguruan), hartanah, hospitaliti dan individu yang terlibat dalam jualan (sales).

Pakaian yang dipilih individu yang bekerja dalam industri ini boleh mempunyai corak yang sederhana, set pakaian yang sedondon warnanya (complementing colours), baju, jaket, seluar atau skirt yang formal sifatnya.

TAHAP GAYA 3: KREATIF DAN MODEN

Pada tahap ini, gaya yang dipakai perlu memaparkan mesej kreatif, berjiwa seni, kontemporari namun tetap kemas.

Industri yang tertakluk di bawah tahap gaya ini ialah industri pengiklanan, hiburan, kesenian, penulisan, reka grafik, rekaan dalaman dan fesyen.

Pakaian yang dipilih individu yang bekerja dalam industri ini tidak mempunyai peraturan yang terlalu ketat, selalunya unik dan adakalanya minimalis. Malah adalah normal untuk menampilkan diri selari dengan sifat kreatif pada pekerjaan tersebut.

Walaubagaimanapun, adalah penting untuk menyesuaikan penampilan diri dengan keadaan dan orang yang ditemui.

Sebagai contoh, individu yang bekerja dalam bidang kreatif bertemu dengan klien daripada bidang tradisional perlu tahu menyesuaikan penampilannya agar mudah berurusan dan dihormati oleh klien tersebut.

Semoga ilmu ini membantu untuk anda semua memilih imej yang bersesuaian berdasarkan industri pekerjaan anda semua.