Pemakaian skirt kini semakin popular dalam kalangan wanita, baik yang bekerja mahupun suri rumah. Skirt bukan sahaja memberikan penampilan yang ayu dan sopan, ia juga boleh digayakan dalam pelbagai situasi sama ada formal atau kasual. Namun, penting bagi anda fahami perbezaan antara skirt formal dan skirt kasual dari aspek potongan, fabrik, warna, dan corak untuk memastikan penampilan anda sesuai dengan acara yang dihadiri.

  • Potongan

Skirt formal biasanya mempunyai potongan yang lebih kemas dan berstruktur seperti skirt A-line yang tidak terlalu longgar. Potongan ini akan memberi siluet lebih profesional serta rapi dan sesuai untuk dipakai ke pejabat, mesyuarat atau majlis rasmi. Sebaliknya, skirt kasual pula potongannya lebih santai dan pelbagai seperti flare skirt, pleated skirt atau maxi skirt. Potongan ini memberi lebih keselesaan dan sesuai dipakai ketika bersantai.

 

  • Fabrik

Dari segi fabrik, skirt formal diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi seperti sutera, wool, poliester yang lebih tebal dan tidak mudah berkedut. Fabrik ini memberi imej mewah dan tahan lasak yang sesuai untuk urusan kerja. Skirt kasual pula menggunakan fabrik yang lebih ringan dan selesa seperti kapas, linen, atau denim.

 

  • Warna

Warna skirt formal biasanya dalam warna neutral seperti hitam, biru gelap atau kelabu untuk kelihatan lebih profesional. Manakala skirt kasual pula warnanya lebih bebas dengan pelbagai warna ceria seperti hijau pastel atau biru terang yang sesuai dalam acara atau situasi yang santai.

 

  • Corak

Skirt formal biasanya tidak mempunyai sebarang corak dan biasanya skirt tersebut ialah skirt yang polos dengan warna neutral. Ini akan mengekalkan elemen ringkas dan kemas. Skirt kasual pula mempunyai pelbagai corak seperti corak bunga, abstrak, geometri dan lain-lain, sesuai untuk gaya yang lebih ceria.

 

Kesimpulannya, memahami perbezaan antara skirt formal dan skirt kasual membolehkan anda memilih skirt yang sesuai mengikut acara dan suasana. Anda akan lebih yakin dan tampil bergaya tanpa mengabaikan kesesuaian dan keselesaan.