Warna sememangnya memainkan peranan besar dalam imej dan penampilan diri seseorang.
Setiap kali anda keluar rumah sama ada ingin ke tempat kerja atau bersiar-siar, warna yang dipakai pastinya memberi mesej tertentu kepada orang lain yang melihat anda.
Pernahkah anda menggunakan kombinasi warna neutral dan pastel dalam satu-satu penampilan?
Pasti ramai dalam kalangan anda yang pernah menggabungkannya bukan?
Ini kerana warna dalam dua kategori ini mudah untuk disuai padan.
Kombinasi warna pastel dan neutral menyampaikan mesej seperti elegan, sofistikated, lembut, ramah dan mesra kepada si pemakai.
Kelebihan Kombinasi Warna Pastel Dan Neutral
Warna pastel terkenal dengan sifatnya yang lembut.
Antara warna pastel yang popular ialah Baby Blue, Soft Pink, Pastel Yellow, Sage Green dan Lilac.
Warna-warna ini memberikan mesej seperti tenang, feminin dan lembut buat si pemakai.
Juga sesuai untuk dipakai untuk situasi yang pelbagai, sama ada kasual atau semi formal.
Apabila warna pastel ini digabungkan dengan warna neutral seperti Putih, Coklat, Kelabu, Hitam atau Biru Navy membuatkan penampilan anda lebih seimbang dan menarik.
Kelebihan lain kombinasi warna pastel dan neutral ini ialah tidak terlalu berlebihan dan menonjol dalam penampilan anda.
Warna-warna ini juga sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis aksesori.
Cara Menggayakan Warna Pastel Dan Neutral
Ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk gabungkan kedua-dua warna dalam kategori ini.
Di bawah ini adalah cara yang boleh dilakukan supaya penampilan anda nampak lebih cantik dan menawan.
Gabungkan Warna Pastel Dengan Warna Putih
- Untuk penampilan yang lebih feminin, boleh padankan blouse warna Baby Pink atau Soft Blue dengan seluar atau skirt putih.
- Kombinasi warna ini sesuai dipakai untuk situasi kasual seperti keluar bersiar-siar, membeli-belah atau bercuti dengan keluarga.
- Kombinasi warna pastel dengan warna neutral seperti Pastel Blue dengan Hitam juga boleh mencipta rupa yang profesional.
- Contohnya satu set suit warna Navy Blue dengan tudung baju warna Pastel Blue.
Seimbangkan Corak Dan Warna
- Jika anda memakai pakaian yang bercorak, pastikan corak tersebut tidak terlalu dominan atau menyerlah.
- Warna pastel yang lembut sesuai digabungkan dengan corak minimalis seperti garis halus atau bunga kecil berwarna neutral.
- Ini membantu mengelakkan penampilan yang terlalu sarat dan mengekalkan rupa yang seimbang.
- Sebagai contoh, boleh pilih blouse bercorak bunga kecil berwarna Pink Pastel serta dipadankan dengan skirt neutral seperti Putih atau Coklat.
Gunakan teknik lapisan (layering)
- Selain tip di atas, anda boleh juga gayakan warna pastel dan neutral menggunakan teknik layering.
- Teknik layering ialah memakai dua atau tiga lapisan pakaian yang berbeza dalam satu-satu penampilan.
- Sebagainya contoh, anda boleh pakai pakaian asas seperti blouse berwarna lavender, ditambahkan pula jaket atau cardigan berwarna Hitam atau Kelabu di atasnya.
- Penggunaan teknik layering seperti ini mencipta rupa yang seimbang dan feminin.
- Apabila menggunakan teknik layering ini, pastikan lapisan paling luar lebih panjang atau lebih longgar daripada pakaian di bahagian dalam.
Tambahkan Aksesori
- Pemakaian aksesori juga membantu untuk menyerlahkan lagi penampilan anda.
- Jika anda memakai pakaian berwarna pastel, boleh padankan aksesori dan kasut dengan warna neutral.
- Sebaliknya, jika anda pakai pakaian warna neutral, padankan dengan sedikit sentuhan warna pastel pada aksesori.
- Contohnya, anda memakai blazer warna Beige dengan seluar Hitam, boleh pilih beg tangan warna pastel seperti Dusty Rose.
Kombinasi warna pastel dan warna neutral sahaja mudah dipadankan untuk pelbagai acara dan suasana.
Kesimpulannya, warna pastel dan neutral adalah warna yang mudah untuk suai padan.
Sekiranya anda ingin sampaikan mesej yang profesional dan rapi, boleh padankan warna neutral dengan sentuhan sedikit warna pastel.
Manakala untuk tujuan santai atau kasual, boleh pilih warna pastel dengan gabungan warna neutral.
Adakah anda peminat warna pastel? Atau anda suka pakai warna neutral?
Boleh kongsikan nama warna yang anda suka di ruang komen.