Komunikasi amat penting dalam kehidupan seharian.
Apabila ingin berhubung dengan orang lain, sudah pasti anda akan berkomunikasi dengan individu tersebut.
Walau ke mana dan di mana sahaja anda berada, pastinya komunikasi berlaku dalam kehidupan seharian anda.
Komunikasi terbahagi kepada dua jenis iaitu komunikasi lisan (verbal) dan bukan lisan (non verbal).
Komunikasi lisan ialah komunikasi yang berlaku melalui percakapan.
Manakala komunikasi bukan lisan pula komunikasi yang melibatkan komunikasi secara bertulis, bahasa badan dan bahasa isyarat atau bunyi.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Komunikasi Berkesan?
Komunikasi berkesan ialah proses pertukaran idea, fikiran, pendapat, pengetahuan dan data supaya mesej diterima dan difahami dengan jelas.
Apabila komunikasi berlaku dengan berkesan, kedua-dua pihak akan berpuas hati.
Cara Tingkatkan Kemahiran Berkomunikasi
Kenali pendengar anda
Pendengar anda akan lebih berminat untuk mendengar apa yang ingin disampaikan apabila anda bercakap tentang minat yang sama.
Apabila anda bercakap tentang perkara dan minat yang sama, mereka akan lebih faham dan berminat untuk mendengar sampai habis.
Oleh itu, penting untuk anda kenal pendengar ketika berkomunikasi dengan mereka.
Gunakan bahasa yang jelas dan ringkas
Apabila anda menggunakan istilah yang tidak difahami, individu yang mendengar akan susah untuk faham mesej yang ingin disampaikan.
Pendengar akan mudah hilang fokus dan tidak berminat untuk meneruskan perbualan.
Sebaiknya bahasa atau perkataan yang digunakan ringkas dan mudah untuk difahami.
Kawal nada dan intonasi
Nada dan intonasi semasa berkomunikasi amat penting untuk diberi perhatian.
Apabila anda bercakap menggunakan nada dan intonasi yang tidak betul, ia boleh menimbulkan salah faham dan konflik.
Perkataan yang ingin dituturkan mestilah sesuai dengan situasi dan keadaan ketika itu.
Sebagai contoh, nada dan intonasi yang tinggi semasa berkomunikasi boleh membuatkan pendengar menganggap anda sedang marah kepadanya walaupun anda tidak berniat untuk memarahinya.
Berhati-hati dengan komunikasi bukan lisan
Ekspresi muka, gerak tangan dan bahasa badan boleh memberi maksud yang berlainan dengan apa yang dituturkan.
Apabila anda sedang berkomunikasi dengan individu lain, pastikan anda kawal eskpresi muka dan bahasa badan supaya mereka tidak salah anggap dengan anda.
Rancang isi pertuturan
Sekiranya anda ingin membuat pembentangan atau perbincangan, pastikan anda luangkan masa untuk rancang dan senaraikan perkara penting sebelum bercakap.
Dengan mengatur apa yang ingin disampaikan, , komunikasi anda akan jadi lebih jelas dan mudah difahami.
Lakukan Eye Contact
Walaupun anda seorang yang pemalu, pastikan anda melakukan eye contact semasa berkomunikasi.
Apabila anda dalam perbualan, eye conatct perlu dilakukan supaya pendengar faham mesej yang ingin disampaikan.
Eye contact juga perlu untuk menunjukkan keyakinan diri apabila berkomunikasi.
Kemahiran komunikasi penting dalam kehidupan seharian bukan sahaja di rumah, malah juga dalam industri pekerjaan.
Kemahiran komunikasi bukan satu bentuk bakat. Jika anda merasakan kemahiran komunikasi anda kurang memuaskan, anda perlu juga meletakkan komitmen untuk menajamkannya.