1. Fabrik (tudung) pastinya ada warna. Jumlah fabrik (tudung) yang mengelilingi wajah pula bukan sedikit.

2. Dalam keadaan ini, warna tudung akan secara langsung memberikan kesan visual kepada seri wajah.

3. Warna tudung yang tidak sesuai dengan tona kulit akan menjadikan wajah kusam, pucat, lesu, menjadikan kekurangan (parut, jeragat dan pori-pori yang besar) pada kulit lebih jelas, nampak sakit dan tidak berseri.

4. Warna tudung yang sesuai dengan tona kulit pula akan menjadikan wajah segar, memudarkan kekurangan pada kulit dan wajah lebih berseri.

5. Wanita bertudung yang saya temui ramai yang mempunyai kecenderungan untuk tidak bermekap atau memakai mekap dengan kadar amat minimum.

6. Apabila memilih untuk tidak ‘menambah’ warna daripada mekap, maka kepentingan memilih warna tudung yang betul menjadi lebih kritikal.

7. Jika tersalah pilih warna tudung, maka wajah akan ‘tenggelam’ dek kerana ‘kalah’ dengan warna tudung.

8. Dalam bahasa perunding perunding imej, ini disebut sebagai “overwhelming colours”.

9. Dalam keadaan ini, warna tersebut boleh kelihatan terlalu menyerlah sehingga ada kemungkinan orang lain akan lebih mengingati warna tudung yang kita pakai berbanding potensi dan prestasi kita dalam kerjaya.

10. Saya percaya, warna tudung yang serasi dengan tona kulit dan personaliti dapat membantu urusan profesional dan sosial berjalan dengan baik.

11. Setiap warna secara umumnya mempunyai mesej yang tertentu. Ini dipanggil psikologi warna.

12. Apabila kita bijak memilih warna tudung yang berpadanan dengan mesej yang kita mahu sampaikan dalam urusan profesional dan sosial, kita dapat menjimatkan masa untuk menggunakan tutur kata untuk menerangkan mesej kita itu. The colours will do the talking for us.

13. Lebih menarik, warna-warna tudung yang selari dengan mesej yang kita mahu sampaikan, apabila dipakai secara konsisten, boleh menjadi personal brand atau jenama diri yang boleh mempengaruhi cara orang lain mengingati kita dan bisnes atau kerjaya kita.