Ketika membuat kelas imej ataupun bengkel berkaitan dengan penampilan, soalan yang selalu ditanya oleh peserta adalah ‘Berapakah maksimum bilangan warna yang anda boleh pakai dalam satu-satu penampilan pada satu-satu masa?’
Soalan berkaitan warna adalah soalan yang paling popular dan selalu ditanya oleh peserta.
Oleh itu, jawapan kepada soalan di atas adalah warna yang dipakai tidak boleh lebih daripada tiga warna.
Memang benar warna yang dipakai tidak boleh lebih daripada tiga warna. Tetapi apakah sebabnya?
Ada beberapa sebab tidak digalakkan memakai lebih daripada tiga warna. Antaranya ialah:
Kelihatan sarat
- Gabungan warna yang lebih daripada tiga akan membuatkan penampilan anda kelihatan terlampau sarat dan penuh.
- Apabila penampilan anda terlalu penuh, sukar untuk anda cipta satu titik tumpu dan tidak menonjolkan bahagian yang ingin diberikan perhatian.
- Lebih baik anda berikan tumpuan kepada satu atau dua ke tiga warna sahaja. Kadang kala warna yang berlebihan tidak akan kelihatan bagus untuk penampilan anda.
Menjejaskan ketinggian
- Warna yang dipakai melebihi tiga warna akan menjejaskan ketinggian anda dan nampak lebih rendah.
- Gabungan warna yang pelbagai dalam sesuatu penampilan akan membuatkan anda kelihatan lebih rendah daripada ketinggian asal.
- Bagi wanita yang mempunyai ketinggian 160 cm ke bawah, anda boleh hadkan warna yang ingin dipakai 2 warna. Untuk wanita yang mempunyai ketinggian 160 cm ke atas. Boleh hadkan bilangan warna yang ingin dipakai kepada 3 warna.
Walau bagaimanapun, sekiranya pakaian yang anda pakai itu mempunyai corak yang lebih daripada tiga warna, ia tidak menjadi masalah selagi mana warna tersebut dalam kuantiti yang sedikit dan tidak terlalu menyerlah.
Di samping itu, untuk pakaian yang bercorak juga anda perlu gunakan warna yang betul dan sesuai supaya penampilan tidak kelihatan sarat.
Lebih baik anda memakai 2 ke 3 warna sahaja dalam satu-satu penampilan supaya lebih cantik, kemas dan seimbang.
Jika anda ada sebarang pertanyaan, boleh kongsikannya pada ruangan klomen di bawah.