Mungkin ramai yang tidak menyangka sebenarnya ada satu perkara apabila dibuat dan amalkan dengan betul di kalangan majikan dengan pekerja atau dengan rakan sekerja ia sangat bagus untuk memastikan orang yang terima perkara ini akan menjadi bersemangat untuk lakukan pekerjaan dan terus lakukan kebaikan.

Perkara tersebut adalah memuji.

Dalam dunia imej profesional ini, ada etika yang spesifik tentang memuji.

Memuji ada etikanya. Ia bermaksud ada tatacara yang betul untuk melakukan aktiviti atau membuat pujian ke atas orang lain dengan tujuan yang bagus dan mengelakkan bunyi itu tidak seperti pujian.

Ada orang mahu beri pujian, tetapi salah teknik dan etika. Pujian itu kelihatan seperti mengampu. Ia akan jadi tidak seronok.
Artikel kali ini akan dikongsikan kepada anda tentang apakah etika yang betul untuk memuji orang lain. Topik etika ini juga berkaitan dengan komunikasi.

Adakah ada di kalangan anda yang tidak suka menerima pujian? Atau apabila anda terima pujian anda akan rasa kekok (awkward)?

Jika anda pernah berasa begitu, mungkin disebabkan oleh pujian yang anda terima itu tidak menepati etika memuji yang betul.

Memang tidak dinafikan bahawa ramai yang mengatakan bahawa pujian itu mestilah satu pujian yang ikhlas.

Ya, benar. Pujian sememangnya perlu ikhlas. Namun, ikhlas seseorang itu tidak boleh diukur.

Ada orang mengatakan bahawa dia memuji anda dengan ikhlas tetapi anda tidak dapat merasai keikhlasannya.

Disebabkan ikhlas itu tidak boleh diukur, maka perlu ada teknik yang betul dalam memberi pujian.

Mengapa?

Kerana ada beberapa sebab.

Jika anda memberi pujian dan jika anda penerima pujian, semestinya anda mahukan pujian itu bersifat mendorong anda untuk terus melakukan kebaikan.

Ini bermaksud, jika anda dipuji untuk melakukan sesuatu perkara yang baik, pujian itu akan menyebabkan rasa seronok dan terdorong untuk terus melakukan perkara yang baik. Jadi itu adalah pujian yang bagus dan berkesan.

Seterusnya pujian yang betul dengan teknik yang betul akan menambahkan emosi positif.

Anda boleh buat orang yang terima pujian itu seronok dan bahagia selepas menerima pujian.

Apabila pujian dibuat dengan betul, ia juga berupaya untuk menguatkan hubungan dan menyebabkan hubungan antara orang yang memuji itu dan menerima pujian itu jadi lebih baik.

Oleh sebab itu, jika hendak memuji sememangnya ada teknik yang betul. Jika salah teknik, boleh menyebabkan dua orang yang memberi dan menerima pujian itu rasa awkward, janggal, tidak seronok dan merasakan hubungan mereka terjejas.

Selain itu, pujian dengan etika yang betul juga akan menggalakkan mencuba sesuatu yang baru kerana anda tahu yang pujian itu adalah satu bentuk penghargaan dan pada masa yang sama apabila ada perkara baharu yang anda mahu lakukan, anda tidak rasa risau kerana dengan adanya pujian itu tadi, anda akan ingat bahawa ‘let’s try something new’. Anda tidak rasa takut dan tidak ada pengalaman buruk tentang perkara itu.

Jadi, apakah etika memuji yang betul terutamanya untuk orang yang memberi pujian?

1. Segerakan pujian
– Ini bermaksud jika anda melihat ada orang membuat kebaikan, melakukan sesuatu perkara yang betul, puji dengan segera.
– Tetapi, janganlah memuji secara segera sehingga menyebabkan orang yang menerima pujian itu terkejut.
– Segerakan pujian apabila anda ingin memuji seseorang supaya pujian itu mudah untuk diingat oleh penerima.

2. Puji secara terbuka
– Pujian terbuka bermakna anda tidak perlu berada one to one session dengan orang itu. Apabila anda memuji seseorang itu, ada orang lain pun masih boleh memujinya tanpa perlu disorok.
– Berikan pujian secara terbuka supaya kebaikan tersebut dapat dicontohi oleh orang sekeliling yang mendengarnya.
– Pujian secara terbuka ini bukanlah bermakna ada perlu memanggil ramai orang untuk membuat pujian tersebut.
– Apabila anda membuat pujian secara terbuka, semua orang boleh belajar.

3. Beri pujian dengan spesifik
– Pujian secara spesifik ini penting supaya orang yang menerima pujian itu betul-betul tahu yang mana satu pujian yang diberikan.
– Sebagai contoh, anda ingin memberi pujian kepada seseorang apabila beliau cepat atau pantas dalam melakukan kerja. Jangan berikan pujian itu secara umum.
– Contoh pujian yang spesifik ialah “Saya suka apabila awak cekap dalam melakukan projek editing video ini. Dua hari pun sudah siap sedangkan saya beri tempoh seminggu.”
– Pujian secara spesifik ini juga boleh diamalkan kepada anak-anak.
– Pujian secara spesifik ini juga perlu supaya orang yang menerima pujian itu tahu di mana kebaikan ataupun kerja yang perlu diteruskan dengan baik.

4. Puji dengan menyatakan hasil
–  Apabila anda sudah membuat pujian secara spesifik, pujian itu juga perlu diberi dengan menyatakan hasil.
– Hasil ini boleh datang dalam bentuk emosi, kesan dari sudut masa, kecepatan, mengelakkan kerugian.
– Contohnya, “Apabila buat begini mudah untuk saya buat keputusan dengan segera sebelum tarikh tamat projek ini. Jadi ia menguntungkan syarikat.”
– Apabila anda memberikan kesan, orang yang diberi pujian itu tadi akan terdorong untuk terus melakukan perkara yang betul.
– Boleh juga beri kesan melalui emosi seperti beritahu anda gembira, lebih tenang, hati tidak rasa runsing apabila orang itu melakukan kebaikan yang telah dipuji.

Amalkan teknik memuji yang betul. Semoga orang yang menerima pujian itu akan menerima kesan baik daripada tindakan anda. Mereka akan terdorong lebih positif dan kesannya itu akan sampai juga kepada anda.