Menghargai diri atau sayangi diri adalah perkara penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu.

Sebagai seorang wanita, anda memerlukan masa untuk memanjakan diri serta rehatkan diri dari sudat fizikal, mental dan rohani.

Tidak dinafikan bahawa setiap wanita sering kali meletakkan orang lain sebagai keutamaan mereka sama ada suami, anak-anak dan keluarga.

Tetapi harus dingat bahawa wanita juga perlu memberi keutamaan dan menghargai diri sendiri terlebih dahulu.

Apabila anda lebih menghargai diri sendiri, anda juga akan rasa tenang untuk menghadapi apa juga perkara berlaku dalam kehidupan seharian dan orang sekeliling anda.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh wanita untuk menghargai diri sendiri. Antaranya ialah:

Lakukan Perkara Yang Disukai

Sama ada anda seorang suri rumah atau wanita yang bekerja, anda juga boleh lakukan perkara yang anda suka untuk hargai diri sendiri.

Sebagai contoh, pada waktu cuti atau hujung minggu anda boleh melakukan aktiviti memanjakan diri seperti pergi ke spa.

Anda juga boleh lakukan aktitviti seperti pergi bersiar-diar di taman, membeli-belah, berkebun, memasak dan sebagainya yang anda suka.

Apabila anda lakukan sesuatu perkara yang diminati, anda akan rasa lebih menghargai diri selepas penat bekerja atau melakukan tugasan di rumah.

Sentiasa Bersyukur

Sebagai seorang manusia, kita mestilah sentiasa bersyukur dan menghargai setiap apa yang kita miliki.

Apabila anda tidak menghargai apa yang anda miliki, anda akan menjadi tidak bersyukur dan sering mahukan lebih lagi.

Mungkin anda pernah membandingkan diri anda dengan orang lain dan cuba untuk menjadi seperti mereka atau mungkin anda rasakan boleh dapat lebih lagi daripada mereka.

Sikap ini membuatkan anda tidak jujur dengan diri sendiri dan tidak bersyukur dengan apa yang sudah dimiliki.

Cara untuk lebih menghargai diri anda adalah dengan memberi tumpuan kepada apa yang anda miliki bukannya pada kekurangan diri.

Belajar untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan dan tidak mudah mengeluh dengan dugaan yang berlaku.

Bersyukur juga menjadikan anda lebih menghargai diri sendiri dan juga orang disekeliling anda.

Luangkan Masa Untuk Diri Sendiri

Tanpa mengira jenis pekerjaan atau seorang suri rumah sepenuh masa, pastikan anda mempunyai masa untuk diri sendiri.

Jika anda mempunyai jadual yang padat, sekurang-kurangnya anda meluangkan masa selama 30 minit untuk diri sendiri.

Ambil masa 30 minit dalam sehari untuk fokus kepada diri sendiri agar rasa lebih baik, segar dan boleh berehat sebentar daripada melakukan sebarang pekerjaan.

Meluangkan masa ini tidak semestinya perlu keluar rumah tetapi di dalam rumah juga boleh.

Sebagai contoh, anda luangkan masa yang ada untuk manjakan diri seperti mandi, bersiap atau tidur sebentar selama 15 minit.

Boleh juga lakukan aktiviti lain seperti riadah, membaca buku dan seumpamanya.

Elakkan Berfikiran Negatif

Apabila anda selalu berfikir kepada perkara yang negatif, ia akan membuatkan motivasi diri anda menurun dan tidak bersemangat untuk melakukan apa-apa perkara.

Jadi anda perlu lawan fikiran yang negatif itu kepada perkara yang positif.

Tidak mengambil peduli tentang apa yang orang lain akan cakap tentang diri anda juga adalah salah satu cara untuk anda lawan fikiran yang negatif.

Mengingati masa yang sudah berlalu atau terlalu bimbang tentang masa depan juga boleh mewujudkan fikiran yang negatif.

Apa yang boleh lakukan ialah tenangkan fikiran dengan lakukan perkara yang bermanfaat dan menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Apabila anda terlalu memikirkan tentang masa lalu, ia juga akan memberikan kesan pada masa akan datang.

Oleh itu, hargailah apa yang sudah anda miliki dan sentiasa berfikiran positif supaya anda lebih menghargai diri sendiri.

Berfikiran positif juga akan membuatkan anda rasa tenang serta lebih menghargai setiap apa yang anda lakukan untuk diri sendiri.

Sayangi dan haragai diri anda dengan melakukan perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri.

Menghargai diri sendiri ini bukanlah bermaksud anda perlu pentingkan diri dan mengabaikan semua orang di sekeliling anda, tetapi ia penting supaya anda boleh memberikan yang terbaik kepada orang yang anda sayangi.

Selain cara di atas, ada banyak lagi cara yang boleh anda lakukan untuk menghargai diri sendiri.

Setiap individu mempunyai cara yang berbeza untuk menghargai dirinya sendiri.

Jadi, apakah cara yang anda lakukan untuk hargai diri sendiri selain yang dinyatakan di atas? Kongsikan jawapan anda di ruangan komen.