Baju kurung sudah tidak asing lagi dengan penduduk di Malaysia. Walaupun baju kurung ini pakaian tradisional orang Melayu tetapi ia juga boleh dipakai oleh bangsa lain.

Baju kurung juga boleh digunakan dalam pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, agama, rasmi, konvokesyen dan sebagainya.

Jika dahulu, baju kurung hanya ada satu bentuk sahaja tetapi kini sudah ada pelbagai bentuk, potongan dan juga turut dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik ataupun labuci dengan lebih moden.

Terdapat pelbagai material untuk menghasilkan baju kurung seperti cotton, satin, chiffon, sutera, batik, linen dan lain-lain.

Contoh Sulaman/Jahitan Baju Kurung

Sebelum kedatangan Islam, kehidupan masyarakat Melayu tempatan dipengaruhi oleh amalan Hindu-Buddha yang diperkenalkan oleh pedagang asing. Pada masa itu, wanita hanya memakai kain kelubung untuk menutup kepala dan berkain kemban.

Selepas kedatangan Islam, barulah cara berpakaian bagi wanita diubah daripada kain kemban kepada baju kurung.
Dari segi istilah ‘kurung’ ini berasal daripada perkataan ‘dikurung’. Ia ditutup, dilindungi supaya tidak dilihat oleh orang lain.

Baju kurung juga bertujuan untuk melindungi sebahagian besar tubuh wanita daripada pandangan umum. Hanya muka dan tangan sahaja yang terdedah. Hingga ke hari ini, baju kurung masih kekal dan relevan dipakai dengan corak, potongan serta warna yang lebih moden.

Pakaian tradisional baju kurung ini mempunyai pelbagai jenis. Antaranya ialah:

Baju Kurung Teluk Belanga

Baju kurung Teluk Belanga atau baju kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Baju kurung Teluk Belanga atau baju kurung Johor ini labuh hingga ke bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek. Terdapat pelbagai bentuk sulaman yang dipadankan pada bahagian leher seperti sulaman mata lalat, tulang belut dan insang pari.

Contoh Baju Kurung Teluk Belanga

Baju Kurung Cekak Musang

Baju kurung Cekak Musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung Cekak Musang mempunyai kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar terdapat bukaan panjang yang berkancing. Potongan baju ini dipercayai menerima pengaruh dari India dan China.

Contoh Baju Kurung Cekak Musang

Baju Kurung Kedah

Baju Kedah atau baju kurung Kedah ialah baju wanita yang sederhana longgar, leher baju seperti kurung moden, labuhnya paras punggung, dan berlengan hingga bawah paras siku. Potongan baju ini ringkas dan lurus tanpa pesak.

Baju ini juga dipercayai berasal dari Selatan Thai kerana ia menyerupai blaus pendek yang dibuat singkat hingga ke paras punggung.

Baju kurung Kedah ini kebiasaannya dipakai bersama kain sarung. Tetapi kini baju kurung Kedah sudah dimodenkan untuk dipadankan dengan kain berselisih hadapan yang sudah siap dijahit dan tidak mempunyai sebarang corak pada baju.

Contoh Baju Kurung Kedah

Baju Kurung Pahang

Baju Pahang ialah baju wanita yang labuh, longgar, berkolar tegak, berpesak, berkancing di bahagian leher dan berlengan panjang. Selain itu, baju kurung Pahang dikenali juga sebagai baju kurung Riau Pahang.

Contoh Baju Kurung Pahang

Baju Kurung Melaka

Baju Kurung Melaka pula rekaannya lebih kurang baju kurung Teluk Belanga dengan mempunyai hiasan dada dihiasi sibar (tambahan atau lapisan di tepi baju) layang daripada baldu bertekad manik dan labuci.

Contoh Baju Kurung Melaka

Baju Kurung Perak

Jenis baju kurung ini susah hendak dilihat pada hari ini. Kebiasaannya baju kurung ini dipakai oleh Puteri Perak pada zaman dahulu. Tetapi, baju kurung jenis ini boleh juga dilihat pada pakaian pengantin dalam majlis perkahwinan. Ia bukanlah baju kurung yang dipakai secara harian tetapi hanya dipakai pada majlis tertentu.

Baju kurung ini juga berbeza dengan baju kurung yang lain kerana ia perlu dipakai dengan seluar dan samping. Rekaan baju kurung ini seakan-akan sama dengan baju kurung cekak musang. Mempunyai kolar di bahagian leher.

Contoh Baju Kurung Perak

Baju Kurung Sarawak

Baju kurung ini mempunyai hiasan yang kreatif dan mempamerkan kemahiran menghias corak menggunakan tangan. Corak hiasan pada baju kurung ini membentuk motif-motif etnik sama ada daripada tenunan, jalinan manik atau labuci. Uniknya baju kurung Sarawak ini menggunakan kain songket.

Contoh Baju Kurung Sarawak

Baju Kurung Negeri Sembilan

Rekaannya sama seperti baju kurung Teluk Belanga. Baju ini berbentuk kebaya labuh yang dipadankan dengan kain sarung. Bagi wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau, baju kurung mereka diperbuat daripada kain baldu, bersulam benang emas yang bertakhtakan labuci. Kain sarungnya pula diperbuat daripada kain songket.

Contoh Baju Kurung Negeri Sembilan

Jadi, anda sudah tahu yang sekarang ini terdapat banyak jenis baju kurung yang sudah dimodenkan. Tetapi, anda juga perlu tahu yang tidak semua jenis baju kurung itu formal. Kebiasaannya baju kurung formal ini dikategorikan sebagai baju yang well-fitted, tidak jarang & terlalu pendek. Kemas dari segi perincian.

Oleh itu, di bawah ini anda akan ketahui apakah komponen penting yang membezakan anatara baju kurung formal dan tidak formal.

4 komponen penting baju kurung formal

Seperti yang sedia maklum, baju kurung adalah baju tradisional dan ia dikira sebagai pakaian formal terutamanya di sektor kerajaan.

Tetapi, tidak semua baju kurung itu dikategorikan sebagai baju kurung yang formal.

Jadi, apakah komponen yang dinilai supaya baju kurung itu kelihatan formal dan sesuai untuk dipakai ke tempat kerja? Berikut adalah 4 komponen penting untuk baju kurung formal yang anda perlu tahu.

1. Corak
• Tidak terlalu sarat dengan perincian corak.
• Elakkan daripada memakai baju kurung dengan motif bunga yang terlampau besar dan berlebihan.
• Jika hendak memakai baju yang bermotif bunga itu perlulah mencari bunga yang kecil-kecil dan bersesuaian dengan anda.
• Untuk kelihatan lebih formal, anda boleh memilih baju kurung yang kosong tanpa sebarang corak.

Contoh Baju Kurung Formal dan Tidak Bercorak

2. Fabrik
• Fabrik tidak mudah berkedut, tidak jarang dan tidak berkilat.
• Baju dengan fabrik yang berkilat seperti satin tidak sesuai untuk dipakai ke pejabat.
• Fabrik yang berkilat lebih sesuai digayakan pada acara perayaan atapun keraian kerana ia membawa mesej kemeriahan.
• Sebaiknya pilih fabrik yang lembut, selesa dan beralun seperti – kain kapas, kain chiffon.

Contoh Fabrik Yang Berkilat

3. Warna
• Warna yang dipakai adalah warna yang natural dan tidak terlalu terang.
• Jangan memilih baju yang berwarna terlalu terang (merah, jingga, kuning) sehingga mengganggu pandangan/konsentrasi pekerja lain.
• Untuk kelihatan profesional, baju berwarna putih, hitam, kelabu dan coklat adalah pilihan yang terbaik untuk anda pakai.
• Elakkan memakai baju kurung yang melebihi daripada 3 warna kerana ia akan kelihatan tidak profesional.
• Boleh juga menggunakan warna bumi seperti warna tanah.

Contoh Warna Bumi

4. Potongan
• Tidak terlalu ketat dan pendek sehingga menampakkan bentuk tubuh badan.
• Tidak mempunyai belahan yang menampakkan kulit.
• Memilih saiz yang sesuai dengan bentuk badan anda. Tidak terlalu kecil dan tidak terlalu longgar.

Contoh Potongan Baju Kurung Yang Longgar

Baju kurung mempunyai pelbagai corak dan jenis. Tetapi, tidak semua baju kurung itu adalah baju formal untuk dibawa ke tempat kerja. Setiap sektor kerajaan mahupun swasta mempunyai panduan atau etika berpakaian di tempat kerja.

Anda perlu rujuk terlebih dahulu etika berpakaian sebelum memilih pakaian itu ke pejabat atau tempat kerja. Jika baju kurung anda mempunyai komponen seperti di atas dan bertepatan dengan etika berpakaian di sektor tersebut, maka ia sesuai dipakai ke pejabat atau tempat kerja dan begitulah sebaliknya.

Jadi, baju kurung jenis apa yang anda sering gunakan untuk dipakai ke tempat kerja? Boleh kongsikannya di ruangan komen.