Kasut tumit tinggi merupakan kasut yang selalu dipakai oleh golongan wanita.
Walaupun kasut tumit tinggi ini mempunyai rekaan yang cantik tetapi penggunaannya yang kerap akan mendatangkan kesan yang buruk.
Oleh itu, sejauh manakah kasut tumit ini boleh memberikan kesan terhadap kesihatan anda?
Penggunaan kasut tumit tinggi yang terlalu lama dan kerap akan menyebabkan masalah seperti berikut:
Sakit pinggang
Kasut tumit tinggi mempunyai pelbagai jenis, reka bentuk dan saiz. Namun, saiz kasut tumit tinggi perlulah dipilih berdasarkan jenis kaki sama ada lebar ataupun tidak.
Apabila anda memilih kasut tumit tinggi dengan saiz yang tidak bersesuaian dengan kaki, maka pemakaian kasut tumit tinggi yang terlalu lama dan kerap menyebabkan rasa sakit pada bahagian pinggang.
Kasut tumit tinggi tidak memberi sokongan sepenuhnya terhadap kaki dan tidak dapat menampung berat badan sekiranya anda salah memilih kasut.
Jika kasut tumit tinggi yang dipakai itu tidak dapat menampung sepenuhnya berat badan anda, maka pinggang akan mula sakit sekiranya berdiri terlalu lama.
Sakit pada bahagian kaki
Anda akan mengalami sakit pada bahagian kaki sekiranya berdiri terlalu lama dengan pemakaian kasut tinggi yang tidak sesuai dengan kaki anda.
Muncung kasut yang tidak sesuai dengan kelebaran tumit juga akan menyebabkan kaki berasa sakit selepas berdiri atau berjalan lama.
Kesakitan pada bahagian kaki ini termasuklah di bahagian hujung jari kaki, tapak kaki dan tumit kaki.
Bukan sahaja sakit pada bahagian kaki, malahan untuk berjalan juga akan berasa sakit terutamanya pada bahagian hujung jari kaki dan tumit.
Terseliuh pada bahagian buku lali
Kasut tumit sesuai dipakai sekiranya anda berjalan pada permukaan yang rata.
Jika anda berjalan di atas permukaan jalan yang tidak rata, berlubang-lubang, mempunyai bonggol dan sebagainya, risiko untuk terjatuh dan kaki terseliuh adalah tinggi.
Apabila anda terjatuh ketika berjalan di atas permukaan yang tidak rata itu, bukan sahaja buku lali terseliuh, tetapi juga menyebabkan buku lali lebam serta sakit pada bahagian siku dan lutut.
Oleh itu, anda disarankan untuk tidak menggunakan kasut bertumit tinggi pada setiap hari.
Ia boleh digunakan tetapi pada majlis-majlis khas dan tertentu sahaja yang tidak melibatkan banyak pergerakan serta tidak berdiri lama.
Sakit pada bahagian lutut
Kelengkungan pada tapak kaki yang tidak sekata akan membuatkan anda berasa tidak selesa sewaktu memakai kasut tumit tinggi. Sekaligus ia memberi tekanan yang tinggi pada sendi lutut serta membawa kepada masalah lutut seperti osteoarthistis.
Osteoarthistis lutut ini berlaku apabila tulang pada sendi lutut rosak dan membolehkan tulang itu bergesel antara satu sama lain. Geseran yang berlaku itu membuatkan lutut berasa sakit dan membengkak.
Sekiranya anda sedang mengalami masalah osteoarthistis, anda perlu elak daripada memakai kasut tumit tinggi kerana ia akan merosakkan sendi dan boleh menyebabkan kecacatan.
Dapatlah disimpulkan bahawa kasut tumit sememangnya memberi kesan terhadap kesihatan terutamanya kaki sekiranya dipakai secara kerap dan lama.
Namun, kasut tumit tinggi bukanlah tidak boleh dipakai langsung, cuma untuk kegunaan secara harian ia sangat tidak digalakkan terutamanya untuk anda yang bekerja dengan melibatkan banyak pergerakan seperti di hospital.
Kasut tumit tinggi boleh dipakai ketika menghadiri acara atau majlis tertentu yang tidak melibatkan banyak pergerakan.
Oleh itu, pemilihan kasut yang betul penting untuk memastikan kaki anda kurang kesakitan akibat daripada penggunaan kasut tumit tinggi tersebut.