Wanita dengan warna memang tidak dapat dipisahkan.
Namun, adakah anda tahu bahawa ada teknik mudah untuk padankan warna pakaian dengan tudung, seluar atau skirt dan beg yang sesuai dengan personaliti dan penampilan anda?
Apakah teknik kombinasi warna yang mudah itu?
Dalam artikel kali ini akan diberikan panduan tentang teknik kombinasi warna yang boleh anda amalkan untuk tujuan pakaian harian, ke tempat kerja ataupun ke acara khas tertentu.
Kepentingan mengetahui teknik kombinasi warna
1. Bilangan warna pakaian wanita adalah banyak
• Warna memainkan peranan penting dalam pakaian kerana bilangan warna yang dipakai oleh wanita adalah banyak.
• Sebagai contoh, untuk wanita yang bertudung semua yang dipakai mempunyai warna. Tudung, baju, seluar atau skirt, kasut, dan beg tangan semuanya mempunyai warna. Jadi, warna sememangnya menyeliputi tubuh badan wanita daripada bahagian atas hingga ke bahagian bawah.
2. Warna yang betul akan menyampaikan mesej yang betul
• Warna sememangnya memberikan peranan yang penting untuk menyampaikan mesej yang betul.
• Sebagai contoh, anda ingin menghadiri ke sesi temu duga kerja, ada warna-warna tertentu yang sesuai untuk digayakan. Jika anda pergi ke temu duga dengan memakai warna yang terang, cerah dan mengganggu mata pihak penemu duga, itu adalah tidak bagus.
• Selain itu, dalam acara atau situasi tertentu ada warna yang anda gunakan supaya anda tidak perlu berkata banyak untuk menonjolkan diri. Sebaliknya, warna pakaian yang dipakai itu telah menyampaikan mesej yang ingin disampaikan kepada orang lain dan mudah difahami oleh mereka.
3. Warna yang dipakai itu memberikan kesan visual
• Sesetengah warna yang dipakai akan memberikan kesan visual seperti kelihatan lebih kecil, kurus, tinggi dan sebagainya.
• Manakala, sesetengah warna yang dipakai juga akan kelihatan lebar di kawasan tertentu dan membantu untuk menutup bahagian yang anda tidak ingin orang lain nampak serta ada juga warna yang boleh menjadi komponen perhatian.
• Jadi pemilihan warna ini penting untuk memberikan kesan visual tertentu yang ingin dicapai.
Secara keseluruhannya, dengan memahami teknik kombinasi warna, apa yang ingin dicapai?
Semestinya ingin mencapai satu konsep yang dipanggil harmoni. Ini bermaksud, penampilan, pakaian, warna dan personaliti harmoni dengan apa sahaja pakaian yang dipakai.
Apabila disebut tentang harmoni, ia tidak ada isu berlebihan dan berkurangan. Maksudnya apa yang anda pakai terutamanya dalam konteks warna akan membuatkan anda kelihatan cantik dan sedap mata memandang.
Jadi, apakah teknik kombinasi warna yang mudah untuk dipandankan?
Teknik kombinasi warna
1. Padanan warna neutral dengan warna fesyen
a. Warna neutral adalah warna yang terdiri daripada 5 warna iaitu putih, hitam, kelabu, biru navy dan perang (coklat).
b. Warna fesyen pula adalah apa-apa sahaja warna selain daripada warna neutral. Ia boleh terdiri daripada warna ungu, turquoise, jingga, kuning, hijau, merah jambu dan sebagainya. Warna-warna fesyen ini tidak sama dengan warna neutral dan ia bersifat menarik perhatian dan bermusim.
c. Jadi, untuk kelihatan warna itu harmoni anda tidak digalakkan untuk memakai warna neutral sahaja tanpa dicampur dengan warna fesyen yang lain.
d. Sebagai contoh, anda boleh memakai tudung yang berwarna light pink, baju berwarna light beige atau perang lembut, serta memakai skirt dan kasut yang berwarna hitam. Oleh itu, penampilan akan nampak lebih hidup dengan kombinasi warna fesyen dan warna neutral.
2. Teknik monokromatik
a. Teknik ini senang kerana anda boleh gunakan warna keluarga yang sama dalam penampilan tetapi dengan menggunakan tona warna yang berbeza.
b. Keluarga warna ini bermaksud nama warna yang sama. Contohnya, keluarga warna biru di dalamnya ada warna biru muda, biru gelap, biru cair, biru terang dan lain-lain.
c. Kepelbagaian warna itu wujud dalam satu keluarga warna.
d. Anda boleh memakai 2 atau 3 tona warna dalam keluarga yang sama pada penampilan anda.
e. Kebaikan teknik ini adalah untuk memberikan ilusi ketinggian dan membantu untuk kelihatan harmoni kerana memakai pakaian dalam keluarga warna yang sama.
f. Gunakan fabrik yang berbeza dalam keluarga tona warna yang sama bagi memberikan tekstur dan citarasa fesyen dalam penggayaan.
3. Teknik analog
a. Teknik ini juga boleh memberikan ilusi ketinggian dan teknik ini perlu menggunakan roda warna.
b. Jika anda lihat roda warna, akan ada warna yang duduk secara bersebelahan antara satu sama lain.
c. Jadi, warna yang bersebelahan ini bukan dalam golongan keluarga yang sama. Tetapi, kalau dipakai bersama ia boleh kelihatan cantik
d. Teknik analog ini bercampur dengan warna yang lain tetapi perbezaannya tidaklah ketara.
e. Kelebihan warna ini sama dengan teknik monokromatik iaitu boleh menampakkan ilusi tinggi dan ia kelihatan lebih segar (refreshing) serta ia adalah teknik yang orang lain tidak boleh agak kerana anda tidak memakai warna yang sama dari atas hingga ke bawah.
f. Di dalam roda warna, 2 ke 3 warna yang bersebelahan anda boleh gunakannya secara bersama tanpa mengambil kira tona warna tersebut.
Dapatlah disimpulkan bahawa anda boleh menggunakan teknik padanan warna yang telah dinyatakan di atas untuk membantu anda memadankan warna pakaian yang bersesuaian dengan tudung, beg, kasut, dan personaliti anda.