
Baju kurung ialah pakaian tradisional masyarakat Melayu yang dikategorikan sebagai pakaian kebangsaan Malaysia. Baju ini menjadi pilihan utama apabila menghadiri sesuatu acara. Namun tidak semua baju kurung yang kita ada sesuai untuk dipakai ke acara formal.
Ini kerana adanya elemen-elemen yang menyebabkan baju ini tidak bersifat profesional untuk dipakai. Untuk memastikan anda memilih baju kurung yang tepat, 5 elemen di bawah perlu diambil kira.
- Corak
Baju kurung yang bercorak banyak dan sarat akan menjadi kurang profesional. Anda juga akan kelihatan terlalu menonjol sekiranya baju anda bercorak besar dan rumit. Corak minimalis seperti bunga kecil, batik, dan geometri yang sederhana ialah corak yang sesuai untuk acara formal. - Fabrik
Ada 3 jenis fabrik yang kurang sesuai untuk tujuan formal, iaitu:
a. Fabrik Mudah Berkedut: Kain kapas atau linen bersifat mudah berkedut. Jika anda memakai baju berfabrik ini, kekemasan diri anda akan terganggu.
b. Fabrik Jarang: Pakaian yang jarang tidak sesuai untuk majlis formal kerana ia tidak sopan untuk dipakai.
c. Fabrik Berkilat: Kain satin atau fabrik berkilat lain lebih sesuai untuk diperagakan di acara lain seperti majlis makan malam berbanding acara formal seperti mesyuarat. - Warna
Baju kurung yang warnanya terlalu terang melebihi 50% menyebabkan penampilan anda tidak seimbang. Anda dinasihatkan untuk memilih warna neutral atau pastel seperti biru lembut, kelabu, atau hijau zaitun untuk aura yang profesional dan menjadi lebih karisma. - Potongan
Terdapat 3 jenis potongan yang tidak sesuai:
a. Potongan Ketat: Potongan ini membuatkan badan anda terbentuk. Pergerakan dan keselesaan anda akan terganggu.
b. Belahan: Belahan akan menampakkan bahagian kulit anda. Pakaian begini tidak sesuai untuk suasana kerja.
c. Potongan Moden Keterlaluan: Banyak baju kurung mempunyai potongan asimetri atau berstruktur yang berlebihan. Ini menganggu kesederhanaan pakaian kebangsaan kita. - Perincian
Penggunaan sulaman, manik, dan aksesori lain yang berlebihan seperti sulaman berwarna-warni yang sarat serta manik yang banyak harus dielakkan untuk menjaga imej profesional anda.
Kesimpulannya, memilih baju kurung yang sesuai bukan hanya soal fesyen, tetapi juga imej dan keselesaan. Semoga panduan ini membantu anda dalam membuat pilihan yang terbaik!
Leave a comment