Bagi wanita yang akan menghadiri temu duga, antara persiapan penting yang perlu dilakukan sebelum menghadiri temu duga adalah memilih pakaian yang formal dan sesuai.

Anda boleh memilih sama ada ingin memakai suit lengkap, blouse ataupun baju kurung. Kesemua pakaian tersebut adalah pakaian yang formal dan sesuai untuk dipakai ke temu duga.

Namun, dalam artikel kali ini akan memberi penekanan untuk anda yang ingin memakai baju kurung ke temu duga tetapi tidak tahu jenis baju kurung yang manakah formal dan sesuai.

Umumnya, baju kurung mempunyai pelbagai jenis, tetapi adakah semua jenis baju kurung adalah formal?

Jadi, antara jenis baju kurung yang anda boleh pilih dan pakai ke temu duga adalah seperti berikut:

1. Baju Kurung Teluk Belanga

Baju kurung Teluk Belanga atau dikenali juga baju kurung Johor adalah salah satu baju kurung yang boleh dipakai ke temu duga.

Hal ini kerana, baju kurung ini mempunyai ciri-ciri seperti labuh hingga ke bawah lutut dan potongan yang tidak terlalu ketat.

Selain itu, baju kurung ini juga mempunyai pesak dan sesuai dipakai ke temu duga.

Contoh Baju Kurung Teluk Belanga (sumber gambar: yandex.com)

2. Baju Kurung Cekak Musang

Baju Kurung Cekak Musang pula rekaannya lebih kurang sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya.

Selain itu, leher baju kurung Cekak Musang mempunyai kolar dan kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Baju ini juga mempunyai pesak.

Contoh Baju Kurung Cekak Musang

3. Baju Kurung Pahang

Baju Kurung Pahang ialah baju yang labuh, longgar, berkolar tegak, berpesak, berkancing di bahagian leher dan berlengan panjang.

Selain itu, baju kurung Pahang dikenali juga sebagai baju kurung Riau Pahang.

Disebabkan ciri-ciri baju kurung pahang sesuai dengan baju kurung formal, ia menjadi salah satu jenis baju kurung yang sesuai dipakai ke temu duga.

Contoh Baju Kurung Pahang

Walaupun, ketiga-tiga jenis baju kurung di atas boleh dipakai ke temu duga, tetapi anda perlu teliti ciri-ciri baju kurung formal dari segi corak, warna, fabrik serta saiz dan potongan baju kurung tersebut.

Berikut adalah ciri-ciri baju kurung yang anda boleh pertimbangkan untuk ke temu duga.

Corak
Baju kurung yang disarankan untuk dipakai adalah baju yang kosong (plain) atau berjalur.

Tidak perlu memakai baju kurung yang terlalu sarat dengan corak dan perincian.

Elakkan memakai baju bercorak bunga, motif binatang ataupun corak yang terlalu besar.

Di samping itu, elakkan juga memakai baju kurung yang mempunyai banyak perhiasan seperti sulaman, manik, labuci dan sebagainya.

Corak yang baju yang kosong sangat disarankan (sumber gambar: freepik.com)

Warna
Digalakkan memakai sekurang-kurangnya tiga warna dan perlu elakkan daripada memakai baju kurung dengan gabungan banyak warna.

Penggunaan warna yang banyak akan membuatkan anda kelihatan terlalu menyerlah dan meriah serta mengganggu pandangan mata penemu duga.

Anda juga digalakkan memilih warna-warna yang lembut atau pastel untuk tudung.

Warna baju pula digalakkan untuk memilih warna yang pekat seperti biru navy ataupun coklat gelap, hijau gelap dan lain-lain. Hal ini kerana warna-warna yang pekat akan membuatkan anda kelihatan lebih profesional.

Disarankan untuk memilih warna yang bersesuaian (sumber gambar: freepik.com)

Fabrik
Elakkan memakai fabrik yang jarang, nipis dan beralun-alun kerana fabrik seperti ini mudah berkedut dan menyebabkan anda kelihatan tidak kemas dihadapan panel penemu duga.

Anda digalakkan menggunakan baju kurung yang diperbuat dari jenis fabrik yang lembut, selesa dan beralun seperti – kain cotton, kain chiffon. Hal ini kerana, baju kurung yang dipakai akan kelihatan terletak kemas dan cantik.

Disarankan untuk memilih fabrik yang tidak mudah berkedut (sumber gambar: freepik.com)

Saiz dan potongan
Saiz potongan baju kurung anda hendaklah tidak terlalu ketat dan sendat sehingga kelihatan seperti mendedahkan potongan badan yang tidak sepatutnya.

Baju kurung seharusnya dipakai mengikut keselesaan dan kelabuhan paras yang bersesuaian.

Tidak digalakkan memakai baju kurung moden yang kebanyakkannya dijahit mengikut bentuk pinggul dan pinggang anda kerana akan kelihatan terlalu menonjol dan menarik perhatian terutamanya mata.

Di samping itu, baju kurung yang disarankan adalah baju kurung yang mempunyai pesak.

Saiz dan potongan baju mestilah tidak terlalu ketat dan mengikut bentuk badan (sumber gambar: yandex.com)

Walaupun terdapat pelbagai jenis baju kurung seperti baju kurung kedah, baju peplum, baju kurung moden, kebaya dan sebagainya, semua jenis itu adalah tidak formal dan tidak sesuai dipakai ke temu duga.

Hal ini dikatakan demikian kerana, ciri-ciri baju kurung yang moden tidak menepati ciri-ciri baju kurung yang formal dari segi corak, fabrik, warna, saiz dan potongan.

Penampilan diri yang kemas semasa sesi temuduga adalah penting dan perlu dititikberatkan supaya dapat menunjukkan diri anda lebih yakin dan mempunyai disiplin yang tinggi.

Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa, tidak semua jenis baju kurung itu sesuai dipakai ke temu duga.

Seperti yang dinyatakan, 3 jenis baju kurung itu boleh dikategorikan sebagai baju kurung yang formal dan pastikan baju yang dipilih itu menepati ciri-ciri baju kurung formal.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan panduan kepada anda untuk memilih pakaian yang sesuai dan betul untuk ke temu duga.