Ilmu ini ramai yang tidak tahu tetapi sebenarnya amat penting untuk diketahui.

Selagi mana anda tidak mengenal jenis kulit kepala (scalp type), selagi itu anda tidak akan menemui produk penjagaan rambut yang serasi untuk digunakan.

Umumnya terdapat empat jenis kulit kepala yang perlu wanita kenal dan tahu sebelum memilih syampu yang sesuai dengan rambut.

Pentingnya mengenal kulit kepala (scalp) adalah kerana pada dasar kulit kepala wujudnya kelenjar minyak yang menghasilkan sebum iaitu jenis minyak rambut semula jadi yang diperlukan oleh kulit dan rambut.

Selain itu, sebum ini juga bertindak untuk menguatkan, melembapkan dan menambah kilauan pada setiap helaian rambut.

Kuantiti sebum yang dihasilkan adalah salah satu faktor utama untuk menentukan jenis kulit kepala.

Terdapat empat jenis kulit kepala iaitu normal, kering, berminyak dan kombinasi.

Cara yang terbaik untuk memahami dan menjaga rambut ialah dengan mengetahui terlebih dahulu jenis kulit kepala yang anda miliki.

Apabila anda sudah memahami kulit kepala, anda akan lebih faham sifat setiap helaian rambut yang anda ada.

Berikut adalah penerangan tentang 4 jenis kulit kepala:

  1. Normal
  • Kelenjar minyak menghasilkan sebum dalam kuantiti yang mencukupi dan normal.
  • Kulit kepala mempunyai kecenderungan untuk sedikit berminyak.
  • Kulit kepala adalah normal dan sihat.
  • Rambut kelihatan berkilat dan sihat kesan daripada penerimaan sebum dalam kuantiti yang mencukupi.
  • Debu dan sebum boleh berkumpul serta rambut perlu dibersihkan dalam tempoh 24 jam.
  1. Berminyak
  • Kelenjar minyak menghasilkan sebum secara berlebihan.
  • Kulit kepala dan akar rambut kelihatan berminyak.
  • Helaian rambut boleh kelihatan lembik, tidak bermaya dan melekat antara satu sama lain.
  • Sebum yang berlebihan juga akan menyebabkan debu berkumpul dan rambut akan cepat kelihatan kotor.
  • Proses penghasilan minyak berlaku dengan cepat dan rambut perlu dicuci sehari sekali.
  1. Kombinasi
  • Kelenjar minyak yang terlalu aktif dan keadaan kulit kepala yang tidak sihat boleh menyebabkan sebum berlebihan serta berkumpul pada kawasan kulit kepala sahaja.
  • Sebum berlebihan ini diserap kembali oleh kulit kepala dan tidak bergerak ke helaian rambut.
  • Keadaan ini menyebabkan rambut menjadi kering, keriting di hujungnya dan teksturnya menjadi rapuh.
  • Namun, bahagian akar rambut pula mempunyai minyak yang kelihatan jelas.
  1. Kering
  • Penghasilan sebum oleh kelenjar minyak tidak mencukupi.
  • Kulit kepala kelihatan tegang, kering, malahan kerak juga boleh terhasil.
  • Tiada atau sedikit sahaja sebum yang disalurkan kepada rambut menyebabkan rambut kelihatan tidak segar dan rapuh.
  • Disebabkan oleh penghasilan sebum tidak mencukupi, rambut tidak perlu dicuci dengan kerap.
  • Kulit kepala boleh mula menggelupas atau berkerak selepas 96 jam dicuci.

Sebelum memilih syampu, anda sememangnya perlu kenal pasti jenis dan keperluan kulit kepala supaya dapat kurangkan masalah rambut yang dihadapi.

Jadi berdasarkan penerangan di atas, yang manakah jenis kulit kepala anda? Adakah normal, berminyak, kombinasi ataupun kering? Boleh kongsikan jawapan anda pada ruangan komen dia bawah.