“Kenapa nak kena beli tali pinggang kulit sampai harga RM600?
Dekat Shopee ada tali pinggang bagus harga RM60 kau boleh beli 10!
Nak beli mahal sebab nak tunjuk jenama la tu…”
Memang senang buat ayat tuduhan terutama apabila berfikir dan hukum hidup orang lain ikut ruang lingkup kemampuan dan citarasa sendiri. 😅
Beginilah… Kali ini saya mahu kongsikan konsep Cost Per Wear (CPW).
Cost Per Wear (CPW) adalah konsep yang sangat mudah – nilai item secara langsung berkait dengan kekerapan anda menggunakan item tersebut.
Sekiranya anda membeli kasut dengan harga RM200 dan memakainya sekali, maka nilai kasut itu ialah RM200.
Jika anda memakainya sebanyak dua kali, maka nilai CPW kasut itu sekarang ialah RM100 sekali pakai.
Jika kasut itu dipakai seratus kali dalam setahun maka setiap kali kasut itu dipakai nilai CPW adalah RM2 sahaja.
Apabila nilai CPW sesuatu item rendah dan kekerapan penggunaan tinggi, ini bermakna amat berbaloi pelaburan anda ke atas item tersebut.
Untuk benar-benar memanfaatkan CPW secara maksimum, anda harus benar-benar menyukai dan benar-benar menikmati (pakai) barang-barang yang anda beli.
Ia juga perlu disimpan dan diselenggara (maintenance) dengan baik agar kualitinya masih tinggi walau dipakai bertahun lamanya.
Jika anda jenis yang cepat bosan dengan gaya yang sama dan suka mengikuti trend baru, konsep CPW ini boleh jadi kurang menarik untuk anda.
Apakah barang yang bagus dibeli dengan kualiti tinggi (baca: mahal dan berjenama)?
Antaranya:
  • Beg tangan
  • Kasut
  • Tali pinggang
  • Tali leher
  • Pakaian kategori gaya evergreen seperti kemeja putih dan seluar slack hitam
  • Jam tangan
  • Aksesori dengan rekaan evergreen
NOTA: Saya mempunyai sepasang kasut formal berwarna hitam yang saya beli pada tahun 2015 pada harga menghampiri RM500.
Tahun ini ialah tahun keenam saya menggunakan kasut tersebut.
Masih elok dan nampak baru. Sudah tentu perlu dijaga dan disimpan dengan baik.
Dalam tempoh setahun, saya pakai kasut tersebut tidak kurang 50 kali. Jadi sekurang-kurangnya saya sudah pakai kasut itu 250 kali sepanjang 5 tahun ini.
CPW kasut tersebut ialah RM2. Sangat berbaloi!