Adakah anda peminat warna pastel atau dipanggil juga sebagai warna yang lembut?
Warna apakah yang anda suka dan selalu pakai?
Tetapi ada juga yang berkata bahawa warna pastel membuatkan wajah si pemakai nampak lebih kusam. Benarkah begitu?
Warna pastel ialah warna yang kusam, pucat tetapi sering digambarkan sebagai warna yang lembut dan menenangkan.
- Kelembutan
- Ketenangan
- Mudah didekati
- Mendamaikan
- Melegakan
- Ringkas (tidak sarat)
Warna pastel ini apabila dipadankan pada pakaian yang simple rekaannya, pasti lebih menyerlah mesej yang dinyatakan di atas.
Di samping itu, pemakaian warna pastel ini juga sesuai untuk pelbagai situasi atau acara tertentu.
Bagi peminat warna pastel ini, apakah gaya dan cadangan warna yang sesuai digabungkan bersama dalam satu-satu penampilan supaya wajah tak nampak kusam atau tak bermaya? Saya kongsikannya dalam penulisan kali ini.
Pilih Warna Pastel Yang Bersesuaian
Punca utama wajah nampak kusam apabila pakai warna pastel pada bahagian tudung ialah disebabkan oleh salah pilih warna.
Seperti yang diketahui, setiap warna ada dua kategori yang utama iaitu warna cool dan warna warm.
Jika si pemakai mempunyai tona dasar kulit cool, lebih disarankan pilih warna pastel yang cool.
Sebaliknya jika si pemakai mempunyai tona dasar kulit warm, lebih sesuai pilih warna pastel yang warm.
Contoh warna pastel yang sesuai dengan tona warna kulit cool ialah Baby Blue, Lavender, Mint Green dan sebagainya.
Warna pastel yang sesuai dengan tona warna kulit warm pula ialah Pastel Yellow, Light Peach, Coral dan lain-lain.
Pilihan warna pastel yang bersesuaian dengan tona dasar warna kulit penting bagi memastikan warna yang dipilih itu cantik dipakai dan tidak membuatkan wajah kelihatan kusam dan tidak bermaya.
Sekiranya tona dasar warna kulit yang cool ingin memakai warna warm seperti Soft Yellow, boleh pilih untuk pakai pada baju atau seluar. Elakkan memakai warna warm berhampiran dengan kawasan wajah supaya wajah tidak nampak lebih kusam.
Begitu juga jika tona dasar warna kulit warm ingin memakai warna yang cool. Lebih disarankan untuk dipakai pada pakaian berbanding kawasan yang berhampiran dengan wajah.
Tambahkan Warna Neutral
Sekiranya anda baru hendak mula pakai warna pastel, boleh gayakan dengan cara yang ringkas.
Anda boleh gunakan sama ada baju atau tudung dengan warna pastel, kemudian tambahkan sedikit warna neutral dalam penampilan anda.
Sebagai contoh, anda boleh gabungkan warna Mint Pastel atau Pale Green dengan tona warna Putih, Biru Navy atau Kelabu.
Gabungan warna pastel dengan warna neutral akan membuatkan penampilan anda lebih menyerlah.
Boleh pilih sama ada ingin gabungkan warna pastel pada tudung, baju atau seluar dengan warna neutral.
Warna neutral adalah warna yang paling mudah untuk disuai padankan dengan warna pastel dan warna fesyen yang lain.
Gabungkan Dengan Warna Pastel Yang Lain
Cara lain untuk menggayakan pakaian warna pastel ini ialah dengan warna atau corak yang mempunyai gabungan dengan warna pastel yang lain.
Sebagai contoh, baju berwarna kuning pastel dengan corak floral warna Soft Green atau Beige. Contoh lain boleh lihat pada gambar di bawah.
Warna pastel sesuai dipadankan bersama dengan warna pastel yang lain dan boleh juga gabungkan dua atau lebih warna pastel dalam satu-satu penampilan.
Selain itu, boleh juga padankan warna pastel dengan warna yang lebih gelap atau sedikit terang daripada tona warna yang sama. Teknik ini disebut sebagai teknik padanan warna monokromatik.
Kelebihan teknik monokromatik ini ialah membuatkan si pemakai kelihatan lebih tinggi.
Gayakan Warna Pastel Dengan Corak Yang Lebih Gelap
Sekiranya anda inginkan sedikit kelainan, boleh pilih pakaian berwarna pastel dengan corak yang lebih gelap.
Corak ini terdiri daripada corak floral, geometri, stripes dan lain-lain.
Boleh pilih sama ada ingin pakai pada pakaian seperti dress, blouse atau tudung serta pilih corak mengikut kesesuaian dan situasi.
Ada individu meminati pakaian dengan warna pastel yang bercorak dan ada juga yang suka pakai tudung bercorak yang berwarna pastel.
Setiap individu itu mempunyai pilihan tersendiri untuk memilih pakaian seperti warna, corak dan rekaan untuk bergaya.
Selain itu, peminat warna pastel juga bebas untuk memilih sama ada warna pastel itu sebagai latar belakang warna pakaian atau warna pastel pada corak sahaja.
Jika anda peminat warna pastel, boleh kongsikan kepada saya warna apa yang anda selalu pakai dan ada tak warna yang anda pakai itu membuatkan wajah nampak lagi kusam? Boleh kongsikan jawapan anda dalam ruangan komen di bawah.