Pernahkah anda mengalami keadaan di mana produk sangat berkesan pada awal penggunaan, tetapi lama kelamaan ia sudah tidak lagi berkesan dengan keadaan kulit?
Perkara ini membawa kepada persoalan adakah kulit boleh menjadi imun dengan penggunaan produk? Maka produk tersebut tidak lagi berkesan kepada kulit.
Jawapan kepada persoalan ini adalah TIDAK BENAR.
Perkara ini adalah mitos sahaja. Kulit tidak akan membina rintangan atau imun terhadap sebarang bahan penjagaan kulit tetapi sebaliknya kulit boleh membina toleransi terhadap sesetengah kesan sampingan bahan seperti retinol.
Jadi apakah sebenarnya yang berlaku? Kenapa produk sudah tidak memberikan kesan?
Ada 4 sebab menyebabkan keadaan ini berlaku.
1) Skin Plateau
Skin plateau ialah keadaan di mana kulit anda sudah mencapai tahap maksimum
keberkesanan produk dan perubahan kepada kulit adalah mendatar, minima dan hampir
tidak kelihatan.
Sebagai contoh anda menggunakan produk pencerahan. Pada awal penggunaan anda dapat melihat keberkesanan produk tersebut memudarkan hiperpigmentasi tetapi apabila kulit sudah mencapai tona semulajadi pigmen kulit, ia tidak boleh berterusan melakukan perubahan warna kepada kulit.
Maka pada saat ini kulit anda mengalami plateau iaitu perubahan yang mendatar. Produk tersebut tidak lagi melakukan perubahan kerana sudah mencapai tahap keberkesanan maksimum terhadap masalah kulit yang dihadapi. Perkara ini boleh berlaku kepada semua jenis produk termasuklah pelembap dan
sebagainya.
2) Anda menggunakan gabungan produk yang salah
Semak semula gabungan atau penggunaan produk anda, besar kemungkinan anda
menggunakan bahan yang tidak boleh digunakan bersama menyebabkan bahan-bahan ini
tidak boleh memberi kesan kepada kulit.
3) Cuaca dan keadaan persekitaran yang sentiasa berubah.
Cuaca dan persekitaran berubah-ubah boleh menjadikan keadaan kulit anda turut berubah.
Menggunakan produk yang salah dan tidak sesuai boleh memberi kesan kepada skin
plateau.
4) Cara penyimpanan produk
Anda mungkin perlu semak semula cara penyimpanan produk. Produk tidak disarankan
untuk diletakkan di dalam bilik mandi kerana suhu yang tinggi. Produk memiliki pH tertentu untuk ia memberikan kesan kepada kulit. Sekiranya pH ini terganggu, maka keberkesanan
boleh menjadi kurang.
Sentiasa simpan produk jauh daripada matahari, di dalam suhu bilik dan tempat yang kering untuk mengelakkan produk anda hilang keberkesanan.
Kesimpulannya, kulit tidak akan mengalami imun terhadap produk. Perkara seperti keadaan kulit, keperluan, cuaca, persekitaran dan gaya hidup memberi kesan terhadap keberkesanan produk kepada kulit. Anda dicadangkan untuk menukar produk mengikut keperluan kulit.