Mana-mana pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, pastinya sudah bersedia melakukan pelbagai persiapan sebelum menghadapi hari yang bermakna buat mereka.
Walaupun begitu, masih ada kesilapan kecil dan biasa yang dilakukan oleh bakal pengantin sebelum majlis berlangsung.
Oleh itu, dalam artikel kali ini akan membincangkan tentang kesalahan biasa yang mungkin pengantin perempuan dan lelaki lakukan tanpa sedar.
Kesalahan biasa yang dilakukan oleh pengantin perempuan
Walaupun pengantin perempuan melakukan lebih banyak persiapan berbanding lelaki, tetapi masih ada kesalahan yang dilakukan tanpa sedar olehnya.
Antara kesalahanya yang biasa dilakukan adalah:
- Memilih warna anak tudung atau inner neck yang tidak sesuai dengan warna selendang atau tudung bawal yang dipakai.
- Pilih dan pakai warna tudung yang tidak sesuai dengan warna baju terutamanya busana pengantin jenis songket.
- Pilih baju dengan rekaan yang tidak sesuai dengan saiz dan bentuk badan.
- Tidak mencuba terlebih dahulu tudung baru yang dibeli sebelum dipakai untuk majlis. Hal ini adalah untuk memastikan tudung terletak elok dan mudah dibentuk.
- Memakai baju t-shirt semasa bersolek. Sebaiknya memakai baju jenis berbutang supaya mudah untuk salin baju dan bersiap.
- Melakukan rawatan muka (facial treatment) dan seumpamanya dalam tempoh 3-4 minggu sebelum majlis berlangsung. Sekiranya mahu lakukan rawatan muka, sebaiknya dalam tempoh lebih awal supaya masalah kulit dapat dikurangkan.
- Tidak sarapan atau makan sebelum sesi solekan pengantin. Disebabkan masa untuk solekan siap agak lama, pengantin perempuan disarankan makan dahulu supaya tidak berlaku sebarang hal yang tidak diingini.
- Tidak cuba pakai contact lens terlebih dahulu sebelum pakai. Sebaiknya berlatih dahulu pakai supaya mata selesa terutamanya bagi pengantin yang tidak pernah pakai contact lens sebelum ini.
Kesalahan biasa yang dilakukan oleh pengantin lelaki
Bukan pengantin perempuan sahaja yang biasa lakukan kesalahan atau kesilapan kecil, tetapi pengantin lelaki juga ada lakukan kesalahan tanpa sedar.
Ramai pengantin lelaki di luar sana yang mengambil ringan akan hal ini tetapi ia sedikit sebanyak memberi kesan semasa majlis.
Antara kesalahan biasa yang dilakukan oleh pengantin lelaki adalah:
- Memakai cermin mata hitam sewaktu bersanding. Hal ini kerana, cermin mata hitam itu akan membuatkan pengantin tidak kelihatan mesra dengan tetamu yang hadir.
- Pilih dan pakai kasut yang berwarna-warni dan pelbagai. Hal ini akan membuatkan pengantin lelaki kelihatan tidak kemas dan tidak cantik di dalam gambar. Sebaiknya pilih warna neutral seperti hitam, dark brown, earth tone dan sebagainya.
- Tidak mengupah groomer untuk siapkan pengantin lelaki seperti touch-up muka, pakaikan samping serta aksesori pengantin lelaki.
- Tidak menjaga kekemasan diri. Ini termasuk tidak mencukur bulu-bulu yang ada di wajah seperti misai, janggut, bulu hidung dan sebagainya. Kekemasan adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap pengantin.
- Memilih baju atau suit yang tidak sesuai dengan bentuk badan. Pastikan saiz yang diambil sesuai dengan badan supaya baju tidak terlalu ketat dan besar pada badan apabila dipakai.
- Memakai stoking yang terlalu pendek dan warna yang tidak sesuai dengan kasut yang dipakai. Boleh pilih warna stoking seperti hitam atau biru navy supaya sesuai dengan warna kasut dan kelihatan lebih kemas.
- Kesalahan yang selalu juga pengantin lelaki lakukan adalah tidak memakai singlet atau t-shirt nipis di dalam baju terutamanya baju melayu berwarna putih.
- Pakai jam tangan jenis sport dengan warna yang terang atau getah jam berwana hijau, kuning atau oren terang. Pengantin lelaki disarankan pakai jam jenis tali berkulit atau besi supaya kelihatan lebih kemas dan kacak.
Kesalahan-kesalahan yang dinyatakan di atas adalah kesalahan yang biasa pengantin perempuan dan lelaki lakukan berdasarkan perkongsian pengalaman dari orang ramai.
Perkongsian kali ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada bakal pengantin untuk mengelakkan hal tersebut daripada berlaku.
Walaupun perkara itu dianggap kecil dan mudah, tetapi ia boleh memberi impak kepada majlis anda.
Apabila pengantin sudah mempunyai kesedaran dan ambil perhatian, maka majlis akan jadi lebih lancar dan memudahkan ramai pihak.