Apabila anda mempunyai kasut, ia sememangnya menjadi tanggungjawab anda untuk menjaga kasut tersebut dengan baik. Hal ini sama seperti anda menjaga baju dan segala peralatan yang berharga dengan baik. Walaupun kasut ini dipakai di kaki, sebenarnya ia juga perlu dijaga dengan baik.

Tidak kira kasut jenis kulit, kasut sukan, kasut baldu, kasut bola, kasut berwarna putih dan sebagainya cara untuk jaga kesemua jenis kasut tersebut secara umunya adalah sama.

Oleh itu, di bawah ini akan dikongsikan kepada anda tentang cara-cara paling asas untuk menjaga kasut terutamanya kasut yang jarang digunakan ataupun hanya digunakan ketika waktu-waktu penting sahaja.

Penjagaan kasut ini penting supaya kasut dapat bertahan lama, berfungsi dengan baik selagi kasut itu masih boleh digunakan dan tidak rosak.

1. Gunakan spray kasut
Untuk menjaga kasut, ia sebenarnya mempunyai kaitan dengan tubuh badan anda. Jika anda memakai kasut dengan stoking atau sarung kaki ia sangat bagus untuk mengelakkan daripada berlakunya banyak pergeseran pada tapak kaki dengan permukaan dalam kasut. Apabila banyak berlaku pergeseran, kasut di bahagian dalam juga akan mudah rosak.

Stoking / sarung kaki

Selain itu, stoking juga berfungsi untuk menyerap lembapan dan bau pada kaki supaya kasut anda terlindung daripada masalah tersebut. Jika anda tidak suka memakai stoking, ia tidaklah menjadi masalah. Tetapi untuk menjaga bau kasut dan mengelakkannya daripada tersebar ke orang sekeliling, anda disarankan untuk menggunakan spray (penyembur) kasut.

Terdapat 2 jenis spray kasut iaitu:

i. Spray kasut untuk menghilangkan bau & mempunyai antiperspirant yang boleh menghilangkan lembapan.
Jika anda mempunyai tapak kaki yang mudah berpeluh, spray seperti ini sangat bagus untuk anda. Cara pemakaian spray jenis ini sangat mudah. Anda perlu semburkannya pada kaki sebelum memakai kasut.

ii. Spray kasut untuk menghilangkan bau sahaja.
Apabila anda menyemburkan spray jenis ini pada kasut, anda perlu memastikan bahawa selepas disembur, kasut tersebut dikeringkan.

Jemur kasut yang sudah disembur itu di ruangan yang terbuka supaya lembapan itu hilang. Selepas kering, barulah anda boleh menyimpan kasut tersebut di dalam ruangan yang tertutup seperti almari kasut.

2. Bersihkan dan kilatkan kasut sebelum dipakai
Selain daripada bahagian dalam kasut, bahagian luar kasut juga perlu diberikan perhatian. Bahagian luar kasut perlu dibersihkan dan dikilatkan sebelum dipakai.

Lebih baik lagi, selepas anda memakai kasut dan sebelum kasut itu disimpan, anda perlu bersihkannya terlebih dahulu.

Di pasaran, pengilat kasut mempunyai 2 jenis iaitu:

i. Jenis span lembut
– Kebiasaannya, span jenis ini adalah untuk permukaan kasut yang licin. Contohnya leather shoe ataupun pvc. Jika anda sapukan ia pada permukaan kasut, ia akan berkilat dan pada masa yang sama akan melicinkan permukaan kasut anda.
– Biasanya span ini tidak mempunyai warna dan ia boleh disapu pada mana-mana jenis kasut yang bersesuaian.

Jenis Span Lembut

ii. Jenis span permukaan kasar
– Span ini mempunyai permukaan yang kasar dan berongga. Span ini juga sesuai untuk membersihkan jenis kasut seperti baldu.
– Span ini mempunyai wax di bahagian dalam yang boleh anda gunakan untuk mengilatkan dan membersihkan kasut.

Span yang mempunyai wax 

3. Gunakan shoe tree
Jika anda mempunyai kasut kulit, anda digalakkan untuk membeli shoe tree ini supaya bentuk kasut terjaga dan tidak rosak jika ia disimpan lama di dalam almari kasut.

Shoe tree mempunyai dua jenis iaitu plastik dan kayu. Shoe tree ini juga mempunyai saiz tertentu dan ada juga shoe tree yang adjustable mengikut saiz kasut anda.

Shoe Tree

Shoe tree yang diletakkan di dalam kasut

Jika anda tidak mempunyai shoe tree, ada alternatif lain yang boleh anda gunakan iaitu dengan menggumpal surat khabar untuk dimasukkan ke dalam kasut.

Tetapi, penggunaan surat khabar tidak digalakkan kerana dikhuatiri kesan dakwat pada tulisan yang dicetak itu akan luntur dan boleh merosakkan kasut anda.

Anda disarankan untuk menggunakan kertas yang kosong seperti kertas A4. Gumpalkan kertas tersebut dan masukkan ia ke dalam kasut selepas dibersihkan dan sebelum disimpan di dalam almari kasut.

Contoh gumpalan kertas

4. Gunakan shoe stack untuk menyusun dan menyimpan kasut
Ada sesetengah daripada anda mungkin mempunyai ruangan yang kecil untuk menyusun dan menyimpan kasut terutamanya apabila anda duduk di rumah sewa. Jadi, anda boleh menggunakan shoe stack ini untuk menyusun dan menyimpan kasut di ruangan yang terhad itu.

Apabila anda menyusun kasut menggunakan shoe stack, anda boleh nampak kasut itu dengan senang. Cara penggunaanya juga mudah iaitu dengan meletakkan satu kasut di bahagian bawah dan satu lagi kasut di bahagian atas.

Dengan cara ini, ia akan menjimatkan ruang, kemas dan kasut juga mudah untuk anda nampak dan gunakan. When we see the shoe, we will use the shoe.

Shoe Stack

Kasut yang diletakkan di atas shoe stack

Apabila anda sudah melabur untuk membeli sesetengah kasut dengan harga yang penuh ataupun harga jualan (promosi), untuk memanjangkan jangka hayat kasut supaya boleh dipakai dengan lebih lama, penjagaan kasut ini adalah sangat penting untuk anda lakukan.

Semoga dengan perkongsian ini, ia dapat memberikan manfaat kepada anda tentang cara penjagaan kasut yang asas dan mudah untuk diikuti.

Antara tip yang dikongsikan tadi, cara yang manakah anda selalu lakukan untuk memastikan kasut sentiasa dalam keadaan baik? Anda boleh kongsikannya di ruangan komen.