Sepanjang 10 tahun dalam industri imej ini, saya telah melatih dan menjalankan sesi konsultasi kepada ratusan wanita.
Majoriti datang dengan satu isu yang sama iaitu kurang yakin pada diri sendiri.
Mereka sering bertanya soalan:
“Kenapa saya sering rasa tidak yakin pada diri sendiri?”
“Apakah ada punca yang menyebabkan saya rasa begini?”
Melalui ratusan perbincangan dan sesi konsultasi ini, saya dapati punca atau sebab kepada rasa kurang yakin diri tersebut adalah seperti berikut.
1) Terlalu memikirkan perasaan atau percakapan orang lain.
2) Mengutamakan keperluan orang lain dan merasakan keperluan diri sendiri tidak perlu diutamakan dahulu.
3) Mudah rasa bersalah dan kerap memohon maaf walaupun tidak perlu.
4) Selalu membandingkan diri dengan orang lain.
5) Selalu mengkritik diri sendiri sehingga tidak nampak kelebihan yang ada pada diri sendiri.
6) Takut untuk menyatakan pendapat kerana takut dilabelkan sebagai seorang tidak pandai, takut dilihat sebagai tidak ‘cukup’ dan takut disangka tidak layak dalam memberi sebarang pendapat.
7) Dikelilingi orang (sama ada kawan, keluarga dan kenalan) yang tidak memberi sokongan positif malah bersifat toksik.
8) Terlalu ‘keras’ pada diri sendiri sehingga diri sendiri kerap mengatakan “bodohnya aku”, “aku ini hodoh” dan pelbagai ayat lain yang negatif kepada diri sendiri
9) Tiada fokus dan sasaran hidup yang jelas. Tiada cita-cita besar atau menganggap cita-cita sendiri kecil dan biasa-biasa.
10) Takut ambil risiko dengan mencuba sesuatu yang baru kerana rasa selesa berada pada situasi yang sama atau kerana takut tersalah langkah.
=====
Cikpuan yang mengalami perkara di atas, saya mahu berpesan.
Lampu yang tidak menyala tidak mampu memberikan cahaya untuk menerangi hidup orang lain. Lampu yang tidak menyala menjadi tidak berguna untuk dirinya sendiri.
Lampu yang bagus perlu membenarkan elektrik melaluinya terlebih dahulu. Sebelum cahaya lampu itu sampai ke segenap ruang di mana lampu itu berada.
NOTA: You have to allow yourself to grow! You have to allow yourself to be more confident before others feel the confidence in you.
Terima kasih kerana membaca! Semoga cikpuan semua lebih berkeyakinan selepas ini dan sentiasa percaya pada diri cikpuan semua.