Ketinggian sememangnya mempengaruhi pemilihan sesuatu pakaian dan juga aksesori. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Public Health Malaysia, purata ketinggian wanita di negara ini ialah 153.3 cm.

Di Malaysia juga, wanita yang mempunyai ketinggian 155 cm ke bawah berada di dalam kategori wanita rendah.

Manakala bagi ketinggian 160 cm ke atas pula dikategorikan sebagai wanita yang tinggi.

Oleh itu, pemilihan pakaian atau aksesori perlulah dipilih berdasarkan ketinggian. Apabila anda pakai pakaian yang kurang sesuai dengan ketinggian, anda boleh nampak semakin rendah, terlalu sarat, terlalu tinggi atau memakai perincian pada tempat yang salah.

Ketinggian ini merangkumi aspek potongan pakaian yang bersesuain dipakai.

Jika anda seorang yang rendah, ada potongan tertentu yang sesuai dipakai dan salah pilih potongan akan menjadikan anda lebih rendah.

Begitu juga dengan wanita yang tinggi. Potongan tertentu yang tidak sesuai dengan ketinggian akan membuatkan anda nampak rendah daripada ketinggian asal.

Selain ketinggian, anda perlu pertimbangkan beberapa aspek yang lain seperti:

Bentuk badan

  • Anda perlu kenal pasti bentuk badan terlebih dahulu sama ada bentuk pear, apple, hourglass, cone atau ruler.
    • Bentuk badan apple pula lebar di bahagian tengah badan terutamanya di kawasan perut atau pinggang.
    • Badan hourglass pula mempunyai pinggang yang sangat ramping serta bahagian bahu, dada dan pinggul sama lebar.
    • Badan berbentuk ruler atau straight mempunyai bahu yang selari dengan tulang rusuk. Dada dan pinggul sama lebar serta pinggang kelihatan kecil.
    • Bentuk badan pear mempunyai ukuran pinggul yang lebih lebar daripada ukuran lebar bahu dan dada.
    • Badan cone atau inverted triangle pula mempunyai bahu yang ketara lebar berbanding pinggang dan pinggul.

5 jenis bentuk badan wanita

 

Kelebaran badan atau body frame

  • Kenal pasti juga kelebaran badan anda sebelum tentukan pakaian yang sesuai dipakai.
  • Kelebaran badan ini terbahagi kepada tiga yang utama iaitu small frame, medium frame dan grand frame.
  • Apabila anda sudah tahu kelebaran badan, mudah untuk anda cari pakaian yang sesuai dengan ketinggian dan bentuk badan.

Jadi apakah yang tidak sesuai dipakai oleh wanita rendah? Saya kongsikan jawapannya di bawah ini.

Baju yang besar atau terlalu longgar

  • Untuk wanita yang rendah, anda perlu elakkan pakai baju yang besar atau terlalu longgar.
  • Pada masa kini, ramai wanita khususnya dalam kalangan remaja suka atau cenderung memakai baju yang bersifat baggy atau oversized.
  • Apabila mereka memakai baju yang terlalu besar atau oversized, akan membuatkan mereka kelihatan lebih rendah dan besar.
  • Walaupun baju oversized menjadi trend fesyen terkini, tetapi tidak semua orang sesuai memakai baju tersebut terutamanya bagi wanita yang rendah.
  • Contoh baju oversized atau baggy ini ialah baju sweatshirt.
  • Anda perlu memilih pakaian dengan saiz yang sesuai dengan ketinggian dan bentuk badan supaya tidak kelihatan rendah dan sarat.

Dress atau skirt yang terlalu labuh

  • Wanita rendah sesuai pakai dress atau skirt tetapi perlu pilih dengan kelabuhan yang betul dan tidak terlalu labuh.
  • Dress dan skirt yang terlalu labuh serta mencecah lantai boleh menyebabkan kotor dan menyukarkan pergerakan.
  • Di samping itu, dress atau skirt yang terlalu labuh juga boleh membahayakan diri disebabkan oleh terpijak kain sendiri dan mengakibatkan jatuh.
  • Pemilihan dress atau skirt sememangnya bergantung pada ketinggian dan bentuk badan anda.
  • Untuk wanita rendah, anda lebih disarankan memilih dress atau skirt yang kelabuhannya tidak melebihi paras buku lali.
  • Jika labuhnya melebihi 2-3 inci, anda boleh memakai kasut tinggi supaya dress atau skirt tersebut tidak terlampau labuh dan cecah lantai apabila dipakai.

Pakaian dengan garis melintang

  • Garis melintang sesuai digunakan sekiranya anda seorang wanita yang kurus ingin memberi ilusi  lebar pada tubuh badan.
  • Garisan ini memberi panduan kepada mata untuk melihat ke kiri dan ke kanan seterusnya memberikan kesan kelebaran.
  • Untuk wanita rendah dan badan lebar, sangat tidak digalakkan pakai corak ini kerana akan nampak lebih rendah dan lebar.
  • Jika anda ingin pakai juga baju yang mempunyai garis melintang, anda boleh memakai jaket di atasnya.
  • Jaket tersebut sangat membantu untuk cut (potong) garis melintang itu supaya jadi lebih pendek.
  • Anda disarankan memilih pakaian dengan corak atau jahitan garis menegak di tengah badan kerana ia membantu memberikan ilusi ketinggian.

Rekaan yang sarat

  • Baju dengan rekaan yang sarat boleh menyebabkan wanita rendah kelihatan lebih rendah.
  • Anda digalakkan untuk memilih pakaian dengan corak atau rekaan yang ringkas serta warna yang terhad.
  • Rekaan yang ringkas boleh membantu si pemakai untuk kelihatan lebih rapi.
  • Pakaian yang terlalu banyak rekaan, perincian serta ropol-ropol membuatkan anda nampak lebih sarat.
  • Pilih satu atau dua warna sudah memadai kerana semakin banyak warna dan corak, badan anda akan kelihatan lebih rendah.

Beg bersaiz besar

  • Wanita yang rendah tidak sesuai memakai beg yang bersaiz besar. Saiz beg tangan perlu seimbang dengan saiz badan anda.
  • Jika anda berbadan kecil dan rendah elakkan memakai beg tangan yang terlalu besar.
  • Begitu juga jika anda berbadan lebar dan kecil elakkan memakai beg tangan yang terlalu kecil sehingga kelihatan tidak seimbang.
  • Untuk pemilihan beg tangan, kelebaran yang sesuai untuk beg tersebut ialah tidak melebihi lebar pinggul anda.
  • Walaupun beg besar sesuai digunakan untuk membawa banyak barang keperluan, namun ia bukanlah satu pilihan yang sesuai untuk wanita rendah.
  • Elakkan pakai beg yang lebih besar daripada tote bag. Pilih beg yang bertali, berstruktur atau backpack sekiranya perlu membawa barang yang banyak.

Sebagai wanita yang rendah, anda perlu elakkan memakai pakaian atau aksesori seperti beg yang membuatkan anda kelihatan lebih rendah dan lebar.

Pastikan juga anda memilih pakaian dengan potongan dan kelabuhan yang bersesuaian mengikut ketinggian, saiz dan bentuk badan.