Adakah anda mempunyai badan berbentuk pear?

Bagaimana untuk memilih pakaian yang sesuai untuk wanita yang berbadan pear?

Apakah pakaian yang sesuai dipakai untuk wanita yang berbadan pear?

Dalam artikel kali ini, akan dibincangkan tentang  tip memilih pakaian untuk wanita terutamanya yang memiliki bentuk badan pear.

Pear adalah bentuk tubuh badan yang mana lebarnya pada kawasan pinggul lebih ketara berbanding bahagian badan yang lain ataupun bahagian atas badan (upper body).

Untuk wanita yang mempunyai tubuh badan berbentuk pear ini, ada gaya penampilan tertentu yang boleh diikuti supaya kelihatan lebih seimbang dan tidak nampak berat pada bahagian lower body (di kawasan pinggul).

Apabila disebut tentang buah pear, pastinya anda sudah tahu bentuk buah tersebut. Buah pear mempunyai bahagian bawah lebih lebar berbanding bahagian atas.

Wanita bertubuh pear ini mempunyai kelebaran yang lebih besar pada bahagian pinggang ke bawah terutamanya pada bahagian pinggul.

Bentuk badan jenis pear

Apabila ada dua kawasan yang berbeza kelebarannya, ada perkara yang perlu diberi perhatian iaitu bagaimana hendak memastikan bahawa kelebaran itu tidak kelihatan lebih lebar dan kelihatan seimbang.

Untuk kawasan yang lebih lebar, ada 3 perkara yang boleh anda lakukan.

1. Pakai pakaian yang menjadikan kawasan yang lebar itu seolah-olah lebih kecil.

2. Boleh selindungkan kawasan yang lebar agak tidak kelihatan ketara.

3. Elak memberikan tumpuan kepada kawasan yang lebar.

Oleh itu, bagaimana hendak mencapai perkara di atas?

1. Jika anda memilih skirt atau seluar, pilih warna yang gelap. Warna yang gelap ini bukan tertumpu kepada warna hitam sahaja. Tetapi, boleh juga menggunakan warna maroon gelap, hijau gelap, biru gelap atau mana-mana warna gelap yang sesuai.

2. Jangan pakai fabrik yang berkilat. Apa sahaja pakaian yang berkilat dipakai pada tubuh, akan membuatkan kawasan itu lebih lebar.

3. Elakkan pakaian ketat pada kawasan lebar tersebut. jangan pilih pakaian yang melekat pada kawasan pinggul anda. jadi, potongan adalah penting. Cari potongan yang lurus atau cutting A. Tidak perlu cari potongan berbentuk duyung, yang berlipat-lipat dan lain-lain potongan. Pilih pakaian yang simple pada kawasan yang lebar.

4. Elakkan perincian yang melampau. Sebagai contoh, ada individu suka memakai kain yang mempunyai ikatan tertentu seperti melengkung, berlipat-lipat. Anda tidak sepatutnya memakai seperti itu sekiranya mempunyai badan berbentuk pear kerana kawasan pinggang ke bawah memang sudah lebar. Jika anda tambah dengan perincian yang banyak, ia akan kelihatan lebih lebar.

Pemakaian fabrik berkilat di kawasan yang lebar adalah tidak digalakkan

Bagaimana pula dengan kawasan yang kurang lebar?

Apa yang patut anda lakukan?

1. Jadikan kawasan itu lebih menarik, tambahkan perincian atau memakai fabrik yang berkilat.

2. Jika anda mahukan perhiasan, perincian, anda boleh letakkan di kawasan pinggang dan ke atas. Jika mahukan ropol, lebih bagus diletakkan pada bahagian bahu. Sekiranya anda mahu gunakan fabrik yang berkilat, tidak digalakkan untuk menggunakan terlalu banyak. Jika mahu pakai, boleh dipakai pada bahagian tudung, blouse.

 

3. Pastikan wajah disolek. Anda boleh memakai bedak, eye liner, gincu dan lain-lain supaya wajah boleh menjadi focal point ataupun tumpuan. Jika mahu pakai aksesori juga digalakkan tetapi tidak terlalu banyak. Perlu pandai seimbangkan dengan bahagian badan anda.

4. Tidak digalakkan untuk memakai hitam seluruh badan kerana anda tidak mencipta titik tumpu. Jadi, ciptakan titik tumpu pada bahagian atas. Warna yang cerah boleh dipakai pada kawasan atas untuk menjadikan ia sebagai kawasan titik tumpu.

Jadikan kawasan muka sebagai titik tumpu (focal point)

Jadi, sebagai kesimpulannya, kenal pasti dahulu bahagian badan yang lebar dan kawasan yang kecil pada tubuh anda sebelum memilih teknik penggayaan yang betul.

Keseluruhan pakaian yang dipakai pada badan mestilah kelihatan seimbang. A good look is not about prettiest, a good look is all about balance.