Ada yang menganggap memberi nasihat adalah perkara yang mudah. Namun ia sebenarnya agak sukar dan tidak semua orang tahu cara yang terbaik untuk beri nasihat.

Artikel kali ini berbeza sedikit dengan artikel yang sebelumnya. Topik yang akan dikongsikan kepada anda kali ini adalah tentang cara untuk memberi nasihat dengan baik.

Topik ini sedikit sebanyak menyentuh aspek komunikasi kerana ia melibatkan komunikasi antara dua pihak iaitu yang menerima nasihat dan memberi nasihat.

Berikut adalah cara untuk memberi nasihat dengan baik yang boleh anda lakukan.

1. Menjadi Pendengar Yang Baik
– Tidak ada orang suka apabila ada gangguan ketika mereka sedang meluahkan perasaan ataupun masalah.
– Oleh itu, apa yang perlu anda lakukan adalah mendengar dan memberikan ruang kepada individu tersebut meluahkan perasaannya terlebih dahulu.
– Kadangkala individu yang meluahkan masalah kepada anda bukanlah untuk mendapatkan jalan penyelesaian daripada anda, tetapi sekadar inginkan pendengar yang baik dan setia supaya bebanan yang ditanggung itu dapat dikurangkan.

2. Bertanyakan Soalan
– Anda boleh bertanya soalan seperti ‘Apakah yang sedang berlaku’ atau ‘Bagaimana perasaan awak ketika ini?’ sebagai permulaan.
– Pastikan soalan yang ditujukan itu adalah soalan yang terbuka supaya individu tersebut mendapat galakan serta tidak terpaksa untuk meluahkan dan mulakan percakapan.
– Apabila beliau tidak mahu untuk meluahkan kepada anda secara terus, anda tidak boleh memaksanya. Berikannya sedikit masa sebelum memulakan cerita.

Pihak pemberi nasihat boleh bertanya soalan yang terbuka kepada pihak penerima nasihat

3. Jangan Cepat Menilai Dan Membuat Andaian
– Sebagai seorang yang memberi nasihat, anda tidak seharusnya cepat untuk menilai masalah yang dialami oleh individu lain.
– Anda perlu mendengar sehingga habis terlebih dahulu sebelum berkata, menyuarakan pendapat ataupun nasihat anda.
– Sikap cepat menilai dan membuat andaian sebelum mengetahui keseluruhan cerita itu adalah perkara yang perlu dielakkan.
– Bahkan orang yang berkongsi masalah dengan anda itu juga tidak selesa dengan anda.
– Jadi, ketahui keseluruhan cerita terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa penilaian.

4. Memberikan Pilihan Untuk Jalan Penyelesaian
– Sebagai seorang yang memberi nasihat, anda perlu menilai setiap aspek sebelum memberi nasihat atau memberi pilihan jalan penyelesaian kepada mereka.
– Anda boleh memberikan beberapa pilihan yang boleh dibuat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi berbanding dengan memberi satu jalan penyelesaian sahaja.
– Apabila anda memberikan beberapa pilihan untuk penyelesaian masalah, penerima nasihat boleh menilai daripada segala aspek sebelum mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya.

Berikan pilihan jalan penyelesaian kepada pihak penerima nasihat

Perkara yang perlu anda elakkan ketika memberi nasihat kepada individu lain adalah jangan membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa terlebih dahulu apa yang sedang mereka hadapi.

Di samping itu, anda boleh memberikan cadangan ataupun pilihan kepada jalan penyelesaian tetapi yang menilai dan mempertimbangkan keputusan untuk menyelesaikan masalah adalah individu tersebut.