Membeli beg tangan itu adalah salah satu aktiviti yang digemari oleh golongan wanita. Namun, anda tidak digalakkan untuk membeli beg tangan apabila sudah berasa bosan dengan beg yang sedia ada. Itu bukanlah cara yang betul untuk membeli beg tangan baru.

Apabila anda hendak membeli beg tangan, ada beberapa cara atau tip yang anda boleh ikuti supaya investment (pelaburan) terhadap beg itu adalah satu pelaburan yang bagus dan boleh memberikan fungsi yang maksimum kepada anda.

Membeli beg tangan bukanlah sekadar untuk menunjuk-nunjuk tetapi beg tangan itu mestilah mempunyai fungsi yang bersesuian dengan situasi sama ada formal ataupun tidak formal.

Jadi, di bawah ini adalah cara atau tip yang anda perlu tahu apabila anda ingin memilih dan membeli beg tangan.

1. Memahami & mengenal pasti bentuk badan

Perkara pertama yang perlu anda lakukan untuk memilih dan membeli beg tangan ialah dengan memahami dan mengenal pasti bentuk badan anda terlebih dahulu supaya anda boleh membeli bentuk beg tangan yang betul dan bersesuaian. Bentuk badan dan bentuk beg mempunyai kaitan.

Secara umumnya, jika anda mempunyai badan berbentuk pear, anda digalakkan untuk membeli beg yang solid, potongan yang lurus dan nampak berlawanan dengan bentuk badan anda. Sekiranya anda mempunyai bentuk badan yang straight cut/slim, anda digalakkan untuk memakai atau membeli beg yang bersifat lembut, berlekuk-lekuk dan berlawanan dengan bentuk badan anda.

 

2. Saiz beg tangan

Saya yakin dan percaya bahawa ada di antara anda yang memikirkan kuantiti barang yang boleh diletakkan di dalam beg tangan, kemudian barulah memilih saiz beg sebelum membelinya. Itu adalah cara yang kurang tepat dari sudut imej profesional.

Jadi, apa yang perlu anda lakukan apabila memilih beg tangan adalah, anda perlu kembali semula kepada kelebaran tubuh badan anda. Beg mempunyai kelebaran, begitu juga dengan tubuh badan anda. Anda perlu memastikan bahawa saiz beg tangan tidak melebihi kelebaran tubuh. Ukur saiz beg tangan dengan meletakkan beg tangan tersebut di hadapan kawasan tubuh yang paling lebar.

Sebagai contoh, di bahagian badan anda, anda mempunyai kawasan pinggul yang lebar. Jadi, apabila anda hendak membeli beg, anda perlu memegang beg tersebut di hadapan pinggul dan pastikan lebar beg itu tidak melebihi lebar pinggul anda. Ini adalah tip yang paling mudah untuk memastikan anda tidak membawa beg yang terlampau besar ataupun terlampau kecil sehingga kelihatan tidak seimbang dengan badan anda.

 

3. Warna beg tangan

Masih ada ramai orang yang percaya bahawa jika hendak memilih warna beg tangan, perlu padankan ia dengan warna kasut ataupun warna eye shadow. Teknik seperti ini sudah tidak relevan.

Warna beg tangan yang paling bagus adalah warna neutral kerana warna tersebut mudah untuk disuai padankan dengan pelbagai jenis penampilan dan juga warna. Warna neutral terdiri daripada 5 warna iaitu putih, hitam, perang (brown), kelabu atau biru navy (navy blue). Walau bagaimanapun, jika anda menyukai warna yang lain tidak menjadi kesalahan untuk anda pilih.

Tetapi, perkara yang paling penting anda perlu fahami adalah jika anda pergi ke acara formal, warna neutral atau bertona gelap lebih sesuai. Selain warna neutral, warna gelap seperti warna dark maroon ataupun dark green juga sesuai untuk dipakai ke majlis formal.

Jika anda berada di situasi yang santai seperti bercuti dan bersiar-siar, beg tangan yang anda bawa dan warna yang boleh dipilih adalah warna yang ringkas, lembut ataupun ceria seperti light pink, light purple ataupun light yellow. Jadi, warna perlu disesuaikan mengikut situasi yang akan anda hadiri.

 

4. Bilangan beg tangan

Persoalan seperti “berapa kuantiti beg tangan yang boleh dimiliki supaya tidak kelihatan seperti orang yang sukakan beg tangan” adalah soalan yang seringkali diterima. Sebenarnya, ia tidak ada satu jawapan yang kukuh. Kebiasaannya, bilangan beg tangan ini bergantung pada gaya hidup, acara yang akan dihadiri, sifat kerjaya serta peranan anda.

Cara untuk anda menentukan bilangan beg adalah dengan mengetahui bahawa setiap acara atau situasi itu akan memerlukan beg yang berbeza-beza. Secara umumnya, sekiranya anda adalah seorang yang berkerjaya anda mestilah mempunyai beg untuk urusan kerja yang lebih formal dan beg yang santai untuk situasi kasual atau boleh juga ada satu beg yang semi formal.

Beg semi formal ini adalah beg yang bersifat universal serta kelihatan sesuai untuk dibawa ke tempat kerja dan pada masa yang sama ia tidak kelihatan janggal untuk dibawa ke acara yang santai. Contohnya seperti tote bag. Jadi, bilangan beg tangan ini bergantung pada acara ataupun situasi yang anda akan hadiri.

 

Apabila anda ingin membeli beg tangan, perkara yang perlu anda elakkan adalah:

  • Membeli beg ketika jualan sedang berlangsung (promosi)
  • Membeli beg dalam keadaan anda sedang lapar
  • Membeli kerana anda ingin mengikuti trend terbaru
  • Membeli kerana ingin bertanding dengan orang lain yang mempunyai beg lebih cantik daripada anda

Apabila anda hendak membeli barang keperluan seperti beg tangan, ia mestilah dibeli berdasarkan fungsi dan acara yang akan anda hadiri. Kemudian, barulah anda boleh memaksimumkan pelaburan anda ke atas beg itu. Dari sudut jenama dan harga pula, ia terpulang kepada kemampuan anda. Jika ada beg yang berkualiti dan harga berpatutan, anda boleh dapatkannya.

Semoga perkongsian tentang cara pemilihan beg tangan ini memudahkan anda untuk membuat penilaian sebelum membelinya. Belilah beg tangan berdasarkan keperluan dan bukanlah semata-mata kerana ingin memenuhi kehendak anda.