Apabila seorang wanita mempunyai berat badan yang selalu turun naik, lebar bertambah dan sebagainya, itu sebenarnya tidak menjadi masalah untuk menjaga penampilan.

Prinsip dalam penampilan, ia tidak mengambil kira lebar, besar, tinggi sebagai satu bentuk ukuran kepada kecantikan.

Semua wanita yang mempunyai pelbagai saiz dan bentuk badan adalah cantik. Perkara yang penting adalah bagaimana cara anda untuk menampilkan diri pada tahap terbaik dalam apa juga saiz atau bentuk badan anda.

Jangan kerana saiz anda berubah kepada kecil, anda mengubah cara penampilan ke arah yang lain. Penampilan anda tidak seharusnya diabaikan apabila kelebaran badan anda sudah berubah. Ia masih perlu dijaga dengan baik.

Dalam artikel kali ini, akan dikongsikan cara bagaimana wanita hendak kelihatan cantik dengan memilih pakaian yang betul, terutama dalam keadaan untuk anda yang semakin bertambah lebih dan berisi.

Antara tip pemilihan pakaian untuk wanita berisi dan lebar adalah:

1. Pilih pakaian yang membahagikan badan kepada 2 bahagian secara menegak
Baju berbentuk begitu memang ada di pasaran dalam bentuk jubah dan blouse. Kawasan pada pakaian tersebut mempunyai warna yang berlainan pada kedua-dua bahagian.

Contohnya, sebelah kiri berwarna putih, kanan berwarna hitam. Ia kelihatan agak pelik tapi sangat memberikan kesan yang baik untuk membantu anda kelihatan seperti separuh saiz sahaja.

Contoh pakaian yang berlainan warna kiri dan kanan

2. Memakai warna yang gelap
Tip ini berkaitan dengan warna dan ia adalah salah satu tip yang klasik. Sememangnya warna yang gelap itu memberikan ilusi yang lebih kecil dan membantu untuk sembunyikan bahagian atau kawasan tubuh yang lebar.

Hal ini kerana, jika anda padankan dengan warna gelap dan warna yang terang, mata akan lebih tertumpu pada kawasan ataupun warna yang lebih terang atau cerah.Jadi, menggunakan tip ini sangat bagus dan membantu anda.

Gunakan warna gelap untuk menyembunyikan atau memberikan ilusi yang kelihatan kecil. Wujudkan titik fokus yang baru dengan mengenakan warna terang bersama dengan warna gelap pada pakaian.

Contohnya, anda memakai baju dengan seluar atau kain berwarna hitam, kemudian anda padankan ia dengan tudung berwarna cerah seperti warna peach, putih dan lain-lain. Bahagian atas itu akan menjadi titik tumpu berbanding bahagian tubuh badan anda.

Contoh warna pakaian yang gelap dengan padanan warna tudung yang cerah

3. Jenis dan saiz corak
Untuk anda yang mempunyai badan berisi, anda masih boleh menggunakan baju yang bercorak dan ia tidak menjadi satu kesalahan. Anda disarankan untuk tidak memilih corak yang terlampau kecil.

Anda juga boleh memakai baju yang bercorak di mana corak itu diulang-ulang. Tetapi pastikan corak itu diukur mengikut saiz tapak tangan anda (tidak termasuk jari). Hanya diukur menggunakan bahagian tengah tapak tangan sahaja dan tidak melebihi saiz tapak tangan itu.

Jangan pilih corak yang terlampau kecil kerana ia tidak memberikan kesan visual kepada anda.

Anda juga digalakkan untuk memilih corak geometri seperti bentuk diamond, segi tiga, zig zag kerana corak seperti itu berlawanan dengan bentuk badan yang berisi. Sudut-sudut tajam pada corak geometri itu akan menghilangkan lengkungan yang ada di bahagian badan anda.

Memilih corak geometri adalah lebih baik

4. Pilih garis menegak pada pakaian
Garis menegak pada pakaian adalah lebih baik dipilih daripada garis-garis melintang. Jika anda lihat garis menegak, gerakan mata anda akan pergi ke bahagian atas bawah kerana mata akan mengekori garis tegak itu.

Jika anda lihat garis melintang, mata anda akan mula melihat daripada bahagian kiri ke bahagian kanan. Jadi, kelebaran badan anda akan kelihatan lebih terserlah dan menonjol.

Tidak menjadi masalah untuk memakai pakaian dengan garis yang melintang, tetapi anda disarankan untuk memakai di atasnya baju yang kosong seperti blazer atau jaket untuk memotong garis melintang tersebut.

Memakai blazer jika ingin menggunakan pakaian yang bercorak melintang

5. Elakkan memilih fabrik yang berkilat
Anda disarankan untuk memilih fabrik yang tidak berkilat terutamanya pada kawasan atau bahagian yang sudah sedia lebar.

Elakkan memakai fabrik yang berkilat pada pakaian kerana ia akan memantulkan cahaya lalu yang jelas menampakkan lekuk-lekuk pada bahagian badan anda.

Fabrik berkilat ini juga akan menambahkan lagi ilusi lebar dan besar.

Jika anda ingin memakai pakaian yang berkilat, anda boleh memakai fabrik semi-matte. Fabrik itu tidak terlalu berkilat dan perlu memakai warna yang gelap berbanding fabrik yang berkilat tetapi warnanya cerah.

Pakaian fabrik berkilat adalah tidak digalakkan

6. Potongan dan gaya pakaian
Untuk anda yang berisi dan lebar, anda dicadangkan untuk memilih potongan pakaian yang minimum dan ringkas bagi mengelakkan tubuh badan kelihatan sarat.

Potongan dengan jahitan yang ringkas, kemas jauh lebih baik berbanding gaya-gaya yang ada ropol-ropol, bunga-bunga besar dan sebagainya.

Tidak salah jika ingin menggunakan pakaian yang ada ropol-ropol, tetapi saiznya tidaklah terlalu besar dan diletakkan di bahagian tubuh badan yang lebar.

Potongan yang ringkas sangat membantu anda untuk kelihatan kemas dan bergaya berbanding dengan potongan yang sarat.
Jadi, berhati-hatilah dalam pemilihan gaya.

Semoga tip yang dikongsikan ini dapat membantu anda yang mempunyai saiz badan lebar dan sedikit berisi untuk  memilih pakaian dengan gaya yang sesuai.