Tubuh badan berbentuk bulat atau nama lainnya ialah oval ataupun epal mempunyai lebih banyak isi dan lebar pada bahagian tengah badan iaitu perut serta pinggang.

Walaupun begitu, bagi wanita yang berbadan bentuk epal ini, anda tidak perlu risau kerana masih banyak gaya yang sesuai untuk anda.

Badan berbentuk epal ini sebenarnya terbahagi kepada tiga bahagian. Tidak sama seperti bentuk badan lain yang cuma ada upper body dan lower body.

Bahagian pertama daripada bahagian dada dan ke atas. Kemudian, bahagian dada dan sedikit bawah daripada pinggul itu adalah bahagian tengah dan daripada bahagian garis pinggul dan ke bawah kaki adalah bahagian yang ketiga.

Kebiasaannya bahagian kedua itulah yang agak menonjol berbanding bahagian yang lain. Di mana bahagian pertama dan ketiga itu agak kecil dari sudut kelebarannya.

Cara terbaik untuk sesorang berbentuk epal bergaya sebenarnya adalah dengan mengamalkan teknik monokromatik.

Apakah yang dinamakan teknik monokromatik?

Teknik monokromatik adalah dengan memakai pakaian yang satu nada atau satu tona warna yang sama daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang yang berbentuk epal itu memakai baju berwarna merah jambu, skirt atau seluar warna yang sama, tudung berwarna merah jambu terang ataupun tona warna yang lebih kurang sama itu dinamakan sebagai teknik monokromatik.

Walaupun begitu, dalam berpenampilan anda perlu mencipta satu titik tumpu. Dalam situasi ini, titik tumpu atau focus point sesuai ditonjolkan pada bahagian tudung atau rambut.

Jika anda memakai baju dengan seluar atau skirt berwarna navy blue, anda perlu memakai tudung yang berwarna cerah seperti merah ataupun biru terang supaya dapat mencipta titik tumpu pada bahagian atas.

Jadi, orang lain tidak akan tertumpu kepada bahagian yang lain ataupun kekurangan yang ada pada tubuh badan.

Seseorang yang mempunyai bentuk badan epal ini disarankan untuk tidak meletakkan apa-apa titik tumpu, perincian dan sebagainya di bahagian tengah badan kerana bahagian akan kelihatan lebih menonjol. Maka anda perlu alihkan perhatian ke tempat lain.

Seterusnya, individu berbadan epal ini digalakkan untuk mempunyai perincian pada pakaian seperti perincian di hujung lengan baju, memakai aksesori yang tidak banyak dan tidak keterlaluan.

Boleh memakai aksesori yang ringkas tetapi tetap menarik perhatian seperti brooch di tudung.

Anda juga perlu elakkan memakai corak yang terlalu kecil kerana ramai yang salah faham bahawa orang yang mempunyai badan berbentuk epal ini elok memakai corak yang kecil-kecil. Itu adalah tidak betul sama sekali.

Sebaiknya anda perlu memakai pakaian yang mempunyai bergaris ataupun skirt yang bergaris kerana garisan tersebut membantu anda untuk nampak kecil dan menghalang orang lain daripada melihat bahagian ingin disembunyikan.

Garisan yang digalakkan untuk pakai ialah garis menegak dan menyerong.

Jalur atau garis seperti melintang tidak digalakkan untuk dipakai kerana mereka yang mempunyai kelebaran di bahagian tengah badan perlu elakkan daripada menggunakannya.

Bagi mengelakkan mata tertumpu kepada bahagian yang tidak ingin dilihat oleh orang lain, anda juga boleh memakai dress seperti:

  • Warp-around-dress
  • Empire line dress
  • A-line dress
  • Shirt dress

Wanita berbadan epal juga sesuai memakai seluar jeans. Seluar jeans ini adalah seluar yang biasanya dipakai dan selalu digunakan.

Potongan Seluar jeans yang sesuai untuk badan berbentuk epal adalah seperti berikut:

  • Boot cut
  • Cargo
  • Flared
  • Straight cut
  • Wide-leg

Selain itu, untuk bentuk badan jenis epal ini juga sesuai memakai seluar daripada material yang lain seperti:

  • Pleated
  • Flowy
  • Belted
  • Palazo
  • Cargo pants

Kesemua jenis seluar ini boleh dipakai kerana ia mampu mengimbangi jenis dan bentuk badan epal dengan menambah bentuk pada bahagian bawah.

Tip bergaya untuk wanita berbadan epal supaya kelihatan seimbang

  1. Fokus pada jenis fabrik
  • Pilih kain atau fabrik yang lembut, flowy dan selesa apabila dipakai.
  • Boleh memakai fabrik seperti sutera (silk), linen dan lain-lain untuk mencipta ilusi kurus.
  1. Pilih warna yang sesuai
  • Perlu pilih warna yang sesuai supaya anda tidak nampak lebih besar dan lebar.
  • Wanita berbadan epal mempunyai bahagian tengah yang agak lebar. Jadi elakkan warna terang sekitar kawasan tersebut.
  • Anda boleh mengimbangi pakaian dengan bahagian atas berwarna gelap dan bahagian bawah boleh mempunyai corak.
  1. Corak dan hiasan
  • Individu yang berbadan epal ini digalakkan untuk menggunakan corak dan hiasan pada bahagian bawah supaya kelihatan seimbang dengan bahagian atas badan.
  • Elakkan juga mengenakan corak di sekitar pinggang dan bahu.
  1. Berikan tumpuan pada bahagian kaki
  • Anda juga boleh jadikan bahagian bawah sebagai titik tumpu untuk mengelakkan orang lain pandang ke bahagian atas badan.

Walaupun anda seorang yang memiliki tubuh badan berbentuk epal, anda masih mempunyai pelbagai pilihan untuk bergaya.

Gunakan teknik bergaya yang betul supaya bahagian yang tidak ingin dilihat oleh orang lain itu dapat disembunyikan dengan baik.

Wujudkan titik fokus di bahagian atas kepala ataupun bahagian bahu bagi yang tidak bertudung supaya bahagian tengah badan tidak menjadi titik tumpu.