Wanita haruslah bijak dalam memilih beg tangan yang sesuai kerana terdapat pelbagai jenis beg tangan di pasaran yang menawarkan harga dari yang paling mahal sehingga harga yang paling murah. Beg tangan yang sesuai perlulah mematuhi beberapa ciri yang sesuai dengan fizikal si pemakai dan acara atau tempat yang dihadiri.
Adakalanya kita lihat beg tertentu cantik dipakai oleh orang lain, namun apabila kita pakai, kurang sepadan pula. Apakah sebabnya?
Pemilihan beg yang baik sebenarnya amat bergantung kepada bentuk badan seorang wanita. Kali ini, saya ingin berkongsi tip ringkas khas untuk memilih beg tangan wanita.
1) Bentuk beg Tangan Berlawanan Dengan Bentuk Badan
Tip pertama dalam memilih beg tangan yang perlu diketahui oleh wanita ialah bentuk beg tangan haruslah berlawanan dengan bentuk badan. Dalam situasi ini, anda haruslah benar-benar memahami bentuk badan anda sama ada jenis curvy atau solid. Jika anda memiliki bentuk badan jenis curvy, beg tangan yang sesuai dengan saiz anda ialah beg tangan yang mempunyai struktur solid. Manakala jika bentuk badan anda adalah solid, maka beg tangan yang sesuai digayakan adalah beg tangan berstruktur curvy.
2) Lebar Beg Tangan Tidak Melebihi Lebar Badan
Tip seterusnya ialah lebar beg tangan haruslah tidak melebihi lebar badan. Kelebaran ini berfungsi sebagai indikator bagi mengukur tahap kesesuaian beg tangan dengan fizikal si pemakai. Sekirannya anda mempunyai bentuk tubuh yang lebar saya nasihatkan agar memilih beg tangan yang lebarnya tidak melebihi lebar badan. Hal ini adalah supaya kedua-dua imej dapat diseimbangkan dan menghasilkan visual imej yang sempurna. Namun begitu, perbezaan dari segi lebar bagi kedua-dua imej mestilah tidak begitu ketara.
3) Saiz Beg Tangan Seimbang Dengan Saiz Badan
Selain itu, saiz beg tangan juga perlulah seimbang dengan saiz badan. Berdasarkan gambar di bawah, imej wanita pertama dari kiri mengenakan beg tangan yang sesuai dengan saiz badannya. Saiz beg tangan itu langsung tidak mencacatkan imej wanita tersebut, ditambah lagi dengan tali pemegang beg tangan yang tidak begitu panjang melengkapkan lagi imej yang dipaparkan.
Semoga tip ini membantu anda memilih beg tangan yang lebih sepadan dengan diri sendiri.