Tidak dinafikan bahawa setiap wanita mempunyai keutamaan untuk memilih jenis tudung yang selesa untuk dipakai. Bagi peminat tudung bawal, semestinya anda membeli tudung mengikut keselesaan apabila dipakai.

Pada waktu dahulu, tudung bawal sangat sinonim dengan fabrik jenis cotton (kapas). Namun kini, apabila berlakunya perubahan masa dan peredaran zaman, sudah banyak jenis fabrik yang direka dan dicipta khas untuk membuat tudung bawal.

Dalam artikel kali ini akan memberikan pendedahan ataupun panduan kepada anda tentang fabrik yang sesuai digunakan untuk tudung jenis bawal dan juga pemilihan fabrik yang bersesuaian mengikut keselesaan masing-masing.

Jenis Fabrik Yang Sesuai Untuk Tudung Bawal

Tudung bawal adalah tudung yang berbentuk segi empat sama dan boleh digayakan dengan pelbagai gaya.

Selain itu, fabrik yang digunakan untuk tudung bawal juga mempunyai pelbagai jenis. Tetapi, tidak semua fabrik di pasaran sesuai digunakan untuk tudung bawal.

Antara fabrik yang sesuai digunakan untuk tudung bawal adalah seperti berikut:

  • Cotton
    • Fabrik jenis cotton atau kapas ini memang sudah tidak asing lagi dengan tudung bawal.
    • Tudung jenis cotton ini senang untuk digayakan, mudah dibentuk pada wajah dan bersifat sejuk.
    • Selain itu, fabrik cotton ini juga terletak kemas dan elok apabila digayakan dengan fesyen yang pelbagai.
    • Fabrik cotton ini juga matte (tidak licin), lembut (namun tidaklah terlalu lembut sehingga susah untuk dibentuk) dan flowy.
    • Fabrik cotton ini bukan sahaja sesuai untuk tudung bawal, tetapi juga sesuai untuk shawl.
    • Boleh digayakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian masa, tempat atau majlis.

Contoh fabrik tudung bawal cotton (Sumber gambar: carousell.com.my)

  • Japanese Cotton Voile
    • Kebanyakan tudung bawal menggunakan fabrik jenis ini kerana ia adalah fabrik kapas (cotton) yang premium.
    • Material kain ini tidak terlalu keras dan tidak juga terlalu lembut. Ia mudah dibentuk dan tidak mudah berkedut.
    • Kebanyakan tudung bawal dijual menggunakan fabrik jenis japanese cotton voile ini.
    • Harga untuk tudung bawal jenis ini juga murah, mampu milik dan mudah untuk didapati.
    • Selain itu, terdapat banyak pilihan warna dan sesuai untuk digayakan dengan gaya yang pelbagai.

Contoh tudung bawal japanese cotton voile (Sumber gambar: alibaba.com)

  • Ultrafine Voile Premium
    • Fabrik ultrafine voile premium ini antara fabrik tudung bawal yang dikatakan premium dan eksklusif.
    • Fabrik jenis ini mempunyai kesimbangan dari segi kelembutan dan kekerasan kerana ia tidak lembut dan tidak juga keras.
    • Fabrik ini juga sangat sesuai untuk tudung bawal.
    • Mempunyai pelbagai warna yang boleh dipilih untuk disesuaikan dengan tona warna kulit dan pakaian anda.
    • Di samping itu, fabrik ultrafine voile premium ini juga tidak mudah didapati dan harganya sedikit mahal berbanding dengan fabrik yang lain.

Contoh fabrik ultrafine voile premium (Sumber gambar: tudungstore.com)

  • Chiffon Voile
    • Fabrik chiffon voile ini sesuai untuk peminat bawal seperti anda dan tidak sukakan material chiffon yang berat, panas dan terlalu licin.
    • Jenis fabrik chiffon voile ini ringan dan selasa dipakai untuk kegunaan harian.
    • Fabrik ini juga tidak terlalu jarang dan awning tudung juga mudah dibentuk walaupun ia agak licin.
    • Ia juga mempunyai pelbagai pilihan warna yang terdapat di pasaran.
    • Jika anda tidak suka memakai tudung bawal jenis cotton kerana ada jenis cotton yang susah untuk membentuk awning ataupun terlalu lembut, anda boleh memilih fabrik jenis ini sebagai pengganti.
    • Kebiasaannya tudung bawal di pasaran adalah bidang 45 tetapi tudung jenis chiffon voile ini mempunyai bidang yang labuh seperti bidang 50 dan bidang 60.
    • Selain itu, chiffon jenis ini ada juga yang plain dan bercorak seperti bunga dan dan lain-lain.

Contoh bawal chiffon voile (Sumber gambar: dramaqueenhijab.com)

  • Korean chiffon
    • Jenis fabrik tudung yang popular ketika ini ialah korean chiffon.
    • Ia seakan-akan fabrik satin tetapi lebih ringan dan sedikit nipis.
    • Walaupun ia nipis, fabrik ini tidak jarang dan boleh dipakai dengan gaya yang pelbagai.
    • Bagi anda yang inginkan tudung yang ringan, santai dan mudah untuk digayakan, boleh memilih jenis fabrik ini.

Contoh tudung bawal korean chiffon (Sumber gambar: carousell.com.my)

  • Satin Silk
    • Kebiasaannya fabrik jenis satin memberikan kesan ‘pekak’ atau kurang pendenagaran ketika memakai fabrik jenis ini.
    • Tetapi, untuk mengelakkan situasi tersebut berlaku, anda perlu memilih fabrik seperti satin silk yang sedikit mahal harganya.
    • Satin silk ini bukan sahaja cantik, tetapi juga lembut, serta senang untuk digayakan.
    • Walaupun fabrik satin ini agak sukar untuk membentuk awning tudung, anda boleh gunakan spray khas bagi membentuk awning tudung.

Contoh tudung bawal satin silk (Sumber gambar: hijabluxeinspired.com)

Sebagai saranan, pilihlah jenis fabrik yang sesuai dan selesa dengan anda. Lakukan teknik penjagaan tudung dengan betul supaya jangka hayat tudung bertahan lama dan tidak mudah rosak.

Gunakan suhu yang betul ketika menggosok tudung supaya kedutan di tudung hilang dan selesa apabila dipakai dan digayakan dengan fesyen yang sesuai.