Golongan wanita sememangnya mempunyai tudung yang banyak dengan pelbagai jenis dan warna. Sudah pasti tujuaan wanita membeli tudung adalah untuk memadankan ia dengan pakaian atau warna baju tertentu.

Pemilihan jenis tudung ini sebenarnya bergantung kepada setiap individu. Mungkin ada di antara golongan wanita yang minat memakai tudung jenis bawal dan ada juga yang minat memakai tudung jenis shawl.

Pemilihan dan pemakaian jenis tudung ini adalah bergantung kepada personaliti dan kecenderungan masing-masing.

Artikel kali ini, akan dikongsikan pula kepada anda tentang jenis-jenis fabrik tudung yang sering menjadi pilihan wanita untuk dipakai dan sebab jenis fabrik tudung itu dipilih.

Walaupun seiring dengan peredaran masa dan zaman, jenis-jenis fabrik ini sentiasa menjadi pilihan ramai untuk dipakai. Antaranya ialah:

1. Cotton

  • Fabrik jenis ini sudah tidak asing lagi dan sangat hampir dengan wanita terutamanya.
  • Fabrik cotton atau kapas ini adalah fabrik yang sesuai untuk dipakai dengan iklim di Malaysia yang bercuaca panas dan lembab sepanjang tahun.
  • Ciri-ciri fabrik ini sejuk apabila dipakai, tidak mudah berkedut dan cepat kering apabila dibasuh dengan tangan ataupun mesin basuh kerana fabrik ini ringan dan nipis.
  • Jangan ada yang tidak tahu, fabrik cotton atau kapas ini sebenarnya bukan ada satu jenis sahaja tetapi mempunyai pelbagai jenis. Antaranya ialah cotton paris, cotton silk, cotton biasa, cotton jepun dan cotton minyak.
  • Tudung jenis cotton ini sememangnya menjadi pilihan buat para wanita yang meminati tudung jenis bawal terutamanya.

Contoh fabrik cotton (Sumber gambar: freepik.com)

2. Chiffon

  • Fabrik jenis ini juga sangat terkenal dalam kalangan wanita. Tidak kira jenis tudung bawal ataupun shawl, kedua-dua tudung tersebut menggunakan fabrik chiffon.
  • Fabrik chiffon ini diperbuat daripada sutera, kapas dan fiber sintetik.
  • Tekstur fabrik ini adalah lembut, beralun dan ringan.
  • Terdapat pelbagai jenis kain chiffon. Antaranya ialah chiffon sutera, chiffon georgette, chiffon goldline, printed chiffon, chiffon crepe dan lain-lain.
  • Fabrik ini masih mendapat sambutan yang hangat daripada peminat tudung bawal dan shawl dan masih relevan untuk dipakai ketika ini.
  • Walapun trend tudung sering berubah-ubah, namun tudung jenis ini masih menjadi pilihan wanita di luar sana.

Contoh fabrik Chiffon (Sumber gambar: freepik.com)

3. Lycra

  • Dulu, fabrik lycra ini pernah viral dan menjadi trend penggunaannya. Fabrik lycra ini juga sinonim dengan tudung jenis sarung.
  • Kain tudung jenis lycra ini mempunyai pelbagai jenis seperti lycra stretchable, lycra cotton dan lycra nipis.
  • Fabrik lycra strechable ini mudah untuk diregangkan. Apabila fabrik ini diregangkan, tidak berlaku tetasan benang pada fabrik tersebut. Fabrik jenis ini juga mudah serap peluh, tahan lasak, mempunyai banyak pilihan warna serta mudah dibasuh dan dijaga.
  • Fabrik lycra jenis cotton pula ciri-cirinya sedikit nipis, mudah serap air, sejuk apabila dipakai, mudah diregangkan serta tahan lasak.
  • Fabrik lycra nipis pula tidak sesuai untuk dijadikan tudung kerana ia terlalu nipis.
  • Golongan wanita terutamanya suri rumah suka memakai tudung sarung jenis lycra ini kerana ia mudah disarungkan dan mempunyai pelbagai warna, corak dan gaya yang lebih moden dan mengikut trend semasa.

Contoh fabrik lycra cotton (Sumber gambar: Rainbow Fabric Sydney

4. Satin

  • Sememangnya, jenis fabrik satin ini skar untuk digayakan tetapi ramai yang meminatinya kerana ia memberikan kesan mewah dan nampak eksklusif apabila dipakai.
  • Fabrik jenis satin ini bukan sahaja ada pada shawl tetapi ada juga rekaan untuk tudung bawal.
  • Walaupun fabrik satin ini cantik dari segi warna dan sifatnya yang mewah, anda perlu memilihnya dengan betul. Pastikan bahagian dalam tudung satin itu bersifat matte dan tidak licin supaya mudah untuk digayakan.
  • Seperti mana fabrik lain, satin ini juga mempunyai banyak jenis seperti pearl satin, satin maria, satin maxmara, satin silk, satin, venus dan satin crepe.
  • Golongan wanita yang meminati fabrik jenis satin ini adalah golongan wanita yang muda dan remaja kerana mereka suka memakai shawl jenis satin dengan mengenakan gaya yang pelbagai.

Contoh fabrik satin (Sumber gambar: freepik.com)

Keempat-empat jenis fabrik tudung tersebut adalah fabrik yang selalu dan biasa dijumpai sering menjadi pilihan buat para wanita.

Pemilihan jenis fabrik tudung yang ingin digunakan sama ada untuk tudung bawal ataupun shawl, ia bergantung kepada keselesaan dan cita rasa masing-masing.

Jelaslah bahawa empat jenis fabrik yang dinyatakan di atas adalah fabrik tudung yang terkenal dan selalu dipakai oleh wanita.

Tetapi, material atau fabrik tudung yang masih kekal relevan dari dahulu sehinggalah sekarang adalah cotton dan chiffon.

Jenis corak dan warna tudung yang pelbagai memudahkan wanita memilih tudung yang diminati berdasarkan personaliti dan gaya yang ingin ditampilkan.

Jadi, antara jenis-jenis fabrik tudung yang dinyatakan di atas, fabrik manakah yang anda suka? Kongsikan jawapan anda pada ruangan komen di bawah.