Warna sememangnya memainkan peranan dalam kehidupan seharian kita. Apa sahaja yang kita lihat di depan mata kita mempunyai warna.

Apa sahaja warna yang dipakai juga mempengaruhi mesej yang ingin disampaikan kepada orang yang ditemui.

Kali ini saya akan terangkan secara ringkas teknik yang mudah untuk suai padankan warna menggunakan roda warna.

Roda warna adalah adalah alat visual yang digunakan untuk menggambarkan hubungan antara warna. Ia terdiri daripada susunan warna primer, sekunder dan tertier.

Ada pelbagai cara yang boleh kita lakukan apabila ingin memakai atau memadankan sesuatu warna.

Kadang kala kita memilih sesuatu warna itu berdasarkan warna yang paling disukai.

Mungkin ada juga di antara kita yang memilih warna berdasarkan acara atau situasi tertentu yang akan dihadiri.

Ataupun ada juga yang pilih warna berdasarkan tona semula jadi warna kulit.

Berikut adalah 5 teknik yang anda boleh pilih untuk suai padankan warna mengikut warna kesukaan.

Monokromatik

Teknik monokromatik adalah teknik paling asas yang kita boleh lakukan untuk suai padankan sesuatu warna.

Cara untuk menggunakan teknik ini adalah dengan menggabungkan warna yang wujud sebaris dalam roda warna.

Selain itu, kelebihan menggunakan teknik ini adalah memberikan ilusi ketinggian kerana kita memilih warna dalam satu keluarga warna yang sama.

Sebagai contoh, ingin memakai baju berwarna merah. Apabila menggunakan teknik monokromatik, kita hanya perlu memilih warna di dalam keluarga warna yang sama dengan merah.

Padanan warna melalui teknik monokromatik dapat memberikan ilusi ketinggian kerana memakai warna dalam keluarga warna yang sama

Analog

Teknik padanan warna yang seterusnya adalah teknik analog.

Teknik ini juga senang untuk kita gunakan kerana hanya perlu padan atau gabungkan warna yang wujud secara bersebelahan dalam roda warna.

Kelebihan teknik ini adalah membantu kita untuk kelihatan tinggi. Hal ini kerana tona warna yang berada secara bersebelahan itu tidak begitu ketara perbezaannya.

Kita juga boleh jadikan salah satu warna yang dipilih itu sebagai titik tumpu pada pakaian.

Sebagai contoh, anda ingin memakai pakaian warna hijau, boleh padankan dengan warna di sebelahnya seperti yellow-green atau blue-green.

Contoh teknik padanan warna secara analog

Complimentary

Umumnya teknik complimentary ini adalah teknik menggabungkan warna yang wujud secara bertentangan dalam roda warna.

Dengan menggunakan teknik ini, ia akan membuatkan penampilan kita kelihatan menonjol kerana wujudnya perbezaan yang ketara pada warna yang digabungkan itu.

Kebiasaannya teknik ini digunakan oleh seorang yang mempunyai personaliti jenis dramatik dan berani sifatnya.

Sebagai contoh, pakai baju dalam kategori warna violet dan kita pilih warna tudung yang bertentangan iaitu warna dalam kategori kuning.

Contoh teknik padanan warna secara bertentangan dalam roda warna

Split Complimentary

Teknik ini pula menggabungkan warna yang wujud pada kiri dan kanan kepada warna yang bertentangan dalam roda warna.

Teknik ini menggunakan 3 warna dalam satu-satu penampilan.

Penggunaan teknik ini dicadangkan untuk individu bertubuh tinggi berbanding dengan individu yang bertubuh rendah.

Bagi anda yang mempunyai personaliti berani, anda boleh padankan warna menggunakan teknik ini.

Sebagai contoh, baju berwarna dusty pink, kain berwarna purple dan tudung pula berwarna light yellow ataupun seperti contoh di bawah.

Cara seperti ini sesuai untuk anda yang tinggi dan mempunyai personaliti yang berani

Triad

Teknik terakhir adalah triad. Teknik ini menggabungkan warna yang wujud dalam jarak 3 unit warna dalam roda warna.

Ia dicadangkan untuk individu yang personalitinya berani dan mempunyai kelebihan fizikal yang tinggi.

Kombinasi warna triad ini juga boleh menimbulkan emosi yang berbeza.

Sebagai contoh, menggunakan tiga warna warm boleh menimbulkan rasa teruja dan tenaga.

Manakala penggunaan tiga warna cool pula boleh mewujudkan rasa tenang dan santai dalam satu-satu penampilan.

Teknik ini juga disarankan untuk anda yang tinggi dan mencipta kepelbagaian dalam penampilan

Berdasarkan teknik-teknik yang sudah dijelaskan, anda akan jadi lebih mudah untuk padankan warna pakaian dengan tudung.

Bukan itu sahaja, penampilan anda juga akan kelihatan lebih kemas dan cantik selepas ini.

Jika anda ada sebarang pertanyaan tentang teknik padanan warna ini, boleh kongsikan di ruangan komen ya.