Keinginan berfesyen dan bergaya tidak dapat dipisahkan dengan wanita. Setiap wanita mempunyai keinginan untuk kelihatan cantik dan yakin dengan penampilannya.

Begitu juga dengan wanita yang bertubuh kecil dan rendah. Mereka juga ingin menjadi lebih yakin dengan penampilan diri mereka.

Tidak dinafikan bahawa ada yang mengatakan senang untuk wanita bertubuh kecil dan rendah bergaya, tetapi sebenarnya mereka juga mempunyai cabaran untuk pilih gaya yang bersesuaian.

Wanita yang bertubuh kecil dan rendah ini kadangkala sukar untuk mencari pakaian yang bersesuaian disebabkan oleh saiz badan mereka yang kecil dan pilihan yang terhad.

Ini termasuklah dalam pemilihan skirt. Tidak semua jenis skirt sesuai dipakai oleh wanita yang bertubuh kecil dan rendah.

Sebelum menerangkan tentang jenis skirt yang sesuai dipakai, saya kongsikan dahulu matlamat bergaya dan tip pakai skirt untuk wanita bertubuh kecil dan rendah.

Matlamat Bergaya Untuk Wanita Bertubuh Kecil dan Rendah

  • Menjadikan kaki kelihatan lebih panjang
  • Mencipta ilusi ketinggian
  • Mencipta bayangan panjang, ramping dan memanjangkan bentuk badan yang kecil

Tip Pakai Skirt Untuk Wanita Bertubuh Kecil dan Rendah

  • Alihkan fokus ke dan tarik perhatian kepada bahagian atas badan.
  • Lindung kawasan yang tidak mahu diberi perhatian
  • Elakkan skirt yang mempunyai volume dan menampakkan anda kelihatan lebih berisi.

Di bawah ini pula adala jenis-jenis skirt yang sesuai untuk wanita bertubuh kecil dan rendah.

Jenis-Jenis Skirt Untuk Wanita Kecil dan Rendah

  1. High Waisted Skirt
  • Pilihan skirt yang utama ialah skirt jenis high waisted.
  • Skirt jenis ini sesuai dipakai untuk wanita bertubuh kecil dan rendah kerana ia memberikan ilusi kaki kelihatan lebih panjang.
  • Bagi membuatkan anda kelihatan lebih tinggi, sebaiknya baju yang dipakai itu dimasukkan ke dalam.
  • Anda juga perlu pilih fabrik, warna dan corak yang bersesuaian dengan tubuh anda.
  • Apabila anda memakai skirt jenis ini, ia juga membantu untuk membuatkan perut kelihatan kempis kerana terselindung di sebalik skirt.
  • Digalakkan juga untuk memilih warna skirt yang gelap serta corak yang ringkas.

  1. A Line Skirt
  • Skirt ini mempunyai perincian yang sangat minimal dan hampir kesemua bentuk badan sesuai pakai.
  • Ia mempunyai potongan berbentuk seperti huruf A, kecil di bahagian pinggang dan lebar di bahagian bawah.
  • Sesuai dipakai oleh wanita yang bertubuh kecil, rendah dan mempunyai bentuk badan pear kerana ia akan menutupi bahagian yang ingin disembunyikan.
  • Jika anda mempunyai bentuk badan kon yang kecil, skirt ini membantu untuk mengimbangi lebar bahu anda.
  • Anda yang mempunyai badan berbentuk lurus dan ingin mencipta lengkungan melalui pakaian, boleh gunakan skirt ini dengan tambahan ruffles.
  • Manakala bentuk badan epal yang kecil dan rendah, sesuai pakai skirt ini untuk menutupi bahagian tengah badan yang lebar.
  • Bagi wanita bertudung, panjang skirt adalah di atas buku lali dan tidak digalakkan memilih skirt yang singkat.

  1. Maxi Skirt
  • Maxi skirt ialah skirt yang labuh dan biasanya mencecah buku lali.
  • Skirt ini menghasilkan satu garis panjang secara menegak untuk menjadikan wanita yang bertubuh kecil dan rendah kelihatan lebih tinggi.
  • Biasanya skirt ini diperbuat daripada fabrik yang ringan seperti cotton, rayon dan chiffon yang sesuai digayakan dalam pelbagai cara.
  • Anda boleh pilih juga fabrik yang selesa untuk dipakai, tidak terlalu ketat dan tidak jarang.

  1. Subtle Printed Skirts
  • Wanita yang bertubuh kecil dan rendah perlu bijak memilih corak skirt yang betul.
  • Sama ada mahu menggayakan corak dengan saiz kecil atau saiz besar, perlu seimbang dengan saiz badan.
  • Corak yang terlalu besar pada pakaian yang dipakai oleh orang yang berbadan kecil akan kelihatan janggal.
  • Oleh itu, pilihlah corak skirt yang bersesuaian dengan saiz badan supaya tidak kelihatan begitu sarat dan lebar.

  1. Skirt With Vertical Prints
  • Skirt lain yang terbaik untuk wanita berbadan kecil dan rendah ialah skirt yang mempunyai corak garis menegak.
  • Garisan menegak ini memandu mata orang yang melihat dari atas hingga ke bawah serta menambah ketinggian pada penampilan anda.
  • Sebaiknya pilih skirt yang tidak terlalu lebar saiz garisannya.
  • Semasa memilih corak dan garisan, pastikan juga anda tidak memilih corak yang terlalu penuh dan sarat.

Semoga perkongsian ini membantu wanita di luar sana khususnya wanita yang berbadan kecil dan rendah untuk memilih skirt yang sesuai.

Jika anda suka memakai skirt, skirt yang mana satukah yang paling selesa dan anda suka pakai? Kongsikan jawapan anda pada ruangan komen di bawah.