Pernahkah anda perasan apabila memakai sesuatu warna tudung itu, wajah nampak kusam, tidak bermaya dan tidak berseri?

Kusam ini merujuk kepada kulit wajah yang nampak tidak bermaya, lebih gelap, mempunyai cela, berparut dan tidak nampak berseri.

Kadang kala sesetengah individu memakai sesuatu warna itu nampak berseri dan menyerlah tetapi apabila anda sendiri yang pakai, ia jadi sebaliknya.

Apakah punca keadaan seperti ini terjadi?

  1. Warna Tudung Tidak Sesuai Dengan Warna Kulit Wajah
  • Cara terbaik untuk memilih warna tudung ialah padankan dengan warna tona semula jadi kulit.
  • Anda mestilah pilih warna tudung yang serasi dengan warna kulit anda.
  • Proses untuk memahami teknik ini ialah dengan melalui satu situasi yang dinamakan sebagai konsultasi warna atau analisis warna (personal natural colouring analysis).
  • Dalam sesi ini, perunding imej yang bertauliah akan menentukan warna yang sesuai dengan kulit anda.
  • Selepas sesi analisis, anda akan mengetahui sama ada anda bertona kulit cool atau warm.
  • Sebagai contoh, jika anda seorang yang cool tetapi memakai warna di dalam ketegori warm seperti warna Red Rust atau Lemon Yellow, kemungkinan untuk wajah kelihatan kusam itu adalah tinggi.
  • Jadi kesalahan yang menyebabkan wajah kelihatan kusam apabila memakai warna tudung tertentu ialah disebabkan warna yang tidak serasi dengan tona warna kulit.

Warna tudung yang tidak sesuai dengan kulit wajah akan membuatkan kulit nampak kusam. (Sumber gambar: freepik.com)

  1. Warna Tudung Terlalu Terang
  • Punca lain yang menyebabkan wajah kelihatan kusam ialah warna tudung yang bersifat agak terang.
  • Sesetengah wanita suka memakai warna tudung yang terang menyebabkan wajahnya menjadi tumpuan kedua.
  • Ini bermakna, fokus orang lain yang melihat akan pergi ke warna tudung bukannya ke bahagian wajah.
  • Dalam hal ini anda perlu memastikan bahawa wajah menjadi tumpuan utama dan bukannya warna tudung.
  • Anda boleh memakai warna terang tetapi tidak digalakkan memilih warna yang terlampau terang kerana ia akan menjadi perhatian dan wajah kelihatan kusam.
  • Contoh warna yang terang ialah seperti warna Electric Green, Cherry, Hot Pink dan lain-lain.

Warna tudung yang terlalu terang juga boleh menjadi punca wajah nampak kusam. (Sumber gambar: pinterest)

  1. Jenis Fabrik Tudung
  • Salah pilih fabrik tudung juga boleh manjadi punca wajah kelihatan kusam.
  • Jika fabrik tudung yang dipilih itu mempunyai unsur-unsur kilatan seperti batu-batu, labuci dan seumpamanya.
  • Jenis fabrik yang mempunyai permukaan berkilat dan memantulkan cahaya ke wajah juga boleh menyebabkan wajah nampak kusam.
  • Kadangkala warna tersebut sesuai untuk kulit anda, tetapi disebabkan fabrik yang dipilih itu tidak sesuai, wajah nampak lebih gelap dan kusam.

Pemilihan fabrik tudung yang berkilat juga menjadi faktor wajah nampak kusam apabila memakai warna tudung yang tertentu. (Sumber gambar: freepiik.com)

Jadi benar atau tidak benar warna tudung tertentu boleh menyebabkan wajah menjadi kusam?

Jawapannya ya, benar. Anda perlu kenal pasti terlebih dahulu warna kulit, warna tudung dan fabrik tudung tersebut sebelum memilih untuk memakainya.

Bagi mengelakkan wajah nampak kusam, anda perlu semak semula perkara yang dinyatakan di atas supaya tudung yang dipilih itu membuatkan wajah kelihatan cantik dan berseri.